Sabtu, 18 Januari 2020 | 1:30pm

Zuraida diberi 14 hari jawab surat tunjuk sebab

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti, sudah dihantar kepada Zuraida, semalam.

“Semalam, parti menghantar satu surat sebab kepada Zuraida dan bermula semalam beliau ada 14 hari untuk memberikan penjelasan dan selepas itu barulah Lembaga Disiplin parti akan buat apa-apa tindakan selanjutnya.

“Sama ada dilakukan pendengaran atau digugurkan itu adalah kuasa Lembaga Disiplin, di bawah Datuk Ahmad Kasim,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, selain isu Zuraida, Lembaga Disiplin parti membuat keputusan menggantung keanggotaan Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz yang ditahan polis bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, berkata hasil mesyuarat bersama 11 Pengerusi PKR negeri, menuntut supaya Zuraida dipecat daripada parti.

“Beliau secara terang-terangan menghina Presiden, menghina pemimpin parti dan jika beliau tidak boleh patuh kepada undang-undang parti, beliau perlu dipecat.

“Ini adalah ketetapan diambil pengerusi-pengerusi parti negeri serta akar umbi yang menuntut Zuraida dipecat walau apa pun alasan yang diberikannya. Buat apa simpan orang seperti ini,” katanya.

Aduan membabitkan Zuraida diterima sejurus Kongres PKR yang berlangsung di Melaka, berakhir Disember tahun lalu.

Terdahulu, kekecohan berlaku di hadapan ibu pejabat PKR ketika mesyuarat MPP berlangsung membabitkan penyokong Zuraida serta satu kumpulan yang mendesak tindakan diambil terhadap Naib presiden PKR itu.

Satu kumpulan melaungkan ‘hidup Zuraida’ manakala satu lagi kumpulan melaungkan ‘pecat Zuraida’ sambil memegang sepanduk.

Malah, tercetus adegan tarik menarik sepanduk antara kedua-dua kumpulan terbabit namun keadaan ditenangkan dengan kehadiran polis yang mengawal di sekitar lokasi terbabit.

Perhimpunan membabitkan dua kumpulan itu yang berlangsung hampir dua jam berakhir kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.
NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.
Berita Harian X