Sabtu, 18 Januari 2020 | 2:10pm

'Wakil PKR dalam Majlis Presiden PH perlu sebulat suara'

KUALA LUMPUR: Enam wakil PKR dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu sebulat suara dalam isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, hari ini.

Selain Saifuddin, lima lagi wakil adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua Naib Presiden, Tian Chua dan Xavier Jayakumar.

Saifuddin berkata, enam wakil terbabit tidak boleh membawa suara peribadi dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, sebaliknya hanya suara dan keputusan yang ditetapkan parti.

"Berhubung isu peralihan (jawatan Perdana Menteri) mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini membuat ketetapan enam wakil parti dalam Majlis Presiden PKR perlu sebulat suara dalam isu peralihan ini.

"Seperti yang diketahui umum, calon Perdana Menteri seterusnya dari PKR adalah Datuk Seri Anwar. Ia juga sudah dipersetujui dalam mesyuarat (Majlis Presiden PH) pada Januari 2018," katanya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Aziziah Wan Ismail meninggalkan Ibu Pejabat PKR selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mesyuarat MPP juga mengambil keputusan melantik Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye sebagai ahli MPP baharu menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Selain Dr Lee, ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail turut dilantik sebagai ahli MPP baharu menggantikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi PKR Johor.

Media semalam melaporkan Mohamed Azmin mengingatkan pihak yang menggesa peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar supaya mengutamakan kepentingan negara dan bukannya individu.

Biarpun tidak menyebut nama tertentu, Mohamed Azmin dipercayai merujuk kepada cadangan beberapa ahli parlimen PKR supaya peralihan kuasa dilakukan pada Mei tahun ini.

Mohamed Azmin turut mempersoalkan alasan individu tertentu yang menggesa Dr Mahathir berundur walaupun Perdana Menteri sudah menyatakan komitmen untuk menepati janji dan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Aziziah Wan Ismail meninggalkan Ibu Pejabat PKR selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Aziziah Wan Ismail meninggalkan Ibu Pejabat PKR selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Ibu Pejabat PKR hari ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Ibu Pejabat PKR hari ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X