Ahad, 19 Januari 2020 | 11:19am

Kekalahan WARISAN disebabkan isu legasi - Mohamed Azmin

AMPANG: Kekalahan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, semalam, disebabkan isu legasi walaupun kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah melakukan yang terbaik.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan negeri bawah pentadbiran WARISAN memerlukan lebih banyak masa untuk meyakinkan rakyat Sabah.

Biarpun tewas, beliau berkata, trend sokongan di Kimanis tidak banyak berubah berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dan tidak timbul isu kemerosotan undi diperoleh calon WARISAN, Datuk Karim Bujang.

“Ketua Menteri Sabah dan pasukannya sudah melakukan usaha terbaik dalam tempoh 20 bulan lalu.

“Namun, oleh kerana isu legasi itu amat besar, mereka memerlukan masa untuk meyakinkan rakyat bahawa masa depan Sabah terletak pada kerajaan pimpinan WARISAN hari ini.

“Tidak timbul isu kemerosotan undi tetapi oleh kerana ia (Kimanis) adalah kawasan luar bandar, kita memerlukan masa bagi meyakinkan mereka bahawa usaha dijalankan ini adalah untuk merapatkan jurang bandar dengan luar bandar. Usaha ini akan diteruskan oleh kerajaan pimpinan WARISAN dengan kerjasama baik Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program mengedarkan buah limau sempena Tahun Baharu Cina yang turut disertai Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai isu legasi yang dinyatakan itu.

Sementara itu, ditanya mengenai kegagalannya menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, semalam, Mohamed Azmin secara ringkas menjawab bahawa beliau berada di Kimanis.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis melalui kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, dengan majoriti 2,029 undi.

Mohamad meraih 12,706 undi dan menewaskan Karim, 66, yang mendapat 10,677 undi dalam persaingan satu lawan satu pada PRK itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi pada 79.92 peratus dengan 320 undi ditolak.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bongawan dan Membakut, dengan 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal serta seorang pengundi tidak hadir yang berada di luar negara.

  • Lagi berita mengenai PRK Parlimen Kimanis
  • Mohamed Azmin mengagihkan buah limau kepada peniaga Pasar Pekan Ampang sempena Tahun Baharu Cina. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
    Mohamed Azmin mengagihkan buah limau kepada peniaga Pasar Pekan Ampang sempena Tahun Baharu Cina. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

    Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X