Rabu, 5 Februari 2020 | 1:59pm
Gambar fail, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli
Gambar fail, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli

'PAS tak sokong BN di bawah Najib' - Takiyuddin

KUALA LUMPUR: PAS tidak menyokong Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak sebelum dan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan, berkata parti itu sebaliknya cuba bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum PRU-14.

Malah, katanya, PAS mengadakan rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) khususnya dengan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tetapi tidak menjadi kenyataan.

“Kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, bahawa ‘PAS menyokong Najib dan mengubah sokongan kepada Dr Mahathir selepas Najib jatuh’ tidak benar sama sekali.

“Saya meminta Setiausaha Agung PKR jangan berpura-pura tidak tahu atau pun sila ambil maklum (sekiranya benar-benar tidak tahu) bahawa PAS tidak menyokong BN yang dipimpin oleh Najib Razak sebelum dan semasa PRU-14.

“Sebaliknya PAS cuba bekerjasama dengan Dr Mahathir sebelum PRU-14 lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut, Saifuddin menyifatkan sokongan PAS terhadap Dr Mahathir berlaku selepas Najib kalah pada PRU-14 lalu.

Baru-baru ini, sebuah portal berita menyiarkan laporan dan gambar pertemuan Dr Mahathir dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, yang turut mendakwa akan berlaku kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Takiyuddin berkata, hakikat PAS tidak bekerjasama dan tidak berkompromi dengan BN pada PRU-14 apabila bertanding bersendirian di 150 kerusi Parlimen menentang BN dan Pakatan Harapan (PH) sehingga mewujudkan pertandingan tiga penjuru.

Malah, katanya, keadaan yang menyaksikan PH merampas Kerajaan Pusat selepas memenangi PRU-14 itu mustahil boleh berlaku jika PAS menyokong atau bekerjasama dengan BN.

“PAS cuba bekerjasama dan mengadakan rundingan dengan BERSATU. Namun, ia tidak terlaksana kerana syarat PAS supaya kerjasama tidak boleh membabitkan DAP, tidak dapat dipenuhi oleh BERSATU.

“Kesediaan PAS untuk menerima kepemimpinan Dr Mahathir bukan hanya selepas PRU-14 sebagaimana dikatakan Saifuddin.

“Kini PAS terus menyatakan dan bersedia membantu Dr Mahathir memimpin negara memandangkan kemampuan beliau menjamin kedudukan Islam dan Melayu, walaupun mengambil kira kepentingan dan hak semua kaum lain,” katanya.

Berita Harian X