Rabu, 12 Februari 2020 | 10:04am

Pertandingan Ketua BERSATU bahagian Kuala Nerus dijangka panas

KUALA TERENGGANU: Pertandingan bagi jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Kuala Nerus dijangka ‘panas’ Sabtu ini.

Pertandingan satu lawan satu itu akan menyaksikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat yang menawarkan diri mengisi kekosongan jawatan Ketua BERSATU bahagian itu dicabar oleh Mohd Jamil Mohd Ali.

Khazan yang juga bekas EXCO kerajaan menawarkan diri bertanding bagi mengisi kekosongan selepas bekas ketua bahagian berkenaan, Datuk Razali Idris menang tanpa bertanding di BERSATU bahagian Marang.

Khazan yang juga timbalan penaja BERSATU Kuala Nerus dicabar bekas pegawai khas ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Jamil pada pertandingan satu lawan satu.

Selain jawatan utama yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu, jawatan timbalan ketua bahagian juga menyaksikan pertandingan dua calon iaitu Mohd Zaki Ismail dan Hamid Yahya.

Turut menyaksikan pertandingan satu lawan satu adalah jawatan Naib Ketua bahagian apabila Tengku Badrul Alam Tengku Abdul Rashid dicabar Mohd Daud Abd Jalil.

Bagaimanapun, tiada pertandingan untuk jawatan pengerusi tetap, ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) selepas tiga jawatan itu diumumkan tiada pertandingan.

Wan Hafizullah Nakhaie Wan Hasaan diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Pengerusi Tetap Armada, Mohd Faisal Ali (Ketua Armada) dan Rahimi Aiman Romaizi (Naib Ketua).

Turut menang tanpa bertanding adalah Pengerusi Tetap dan timbalan Srikandi, Nabilatulnajah Mustaffa serta Rafazirah Remali.

Rumaisya Romaizi dan Hamida Mat Diah juga turut memenangi jawatan Ketua dan Timbalan Srikandi Bahagian Kuala Nerus.

Sebanyak 12 cawangan BERSATU di bahagian Kuala Nerus layak mengadakan mesyuarat pemilihan Sabtu ini.

Berita Harian X