Jumaat, 14 Februari 2020 | 4:38pm

Saingan tiga penjuru di lima bahagian BERSATU di Pahang

KUANTAN: Lima bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pahang menyaksikan saingan tiga penjuru bagi merebut jawatan ketua bahagian.

Ia membabitkan bahagian Temerloh, Bera, Kuantan, Kuala Krau dan Raub, manakala Jerantut, Lipis dan Pekan menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pahang, Dr Omar Jamaludin, berkata Paya Besar, Rompin, Bentong dan Cameron Highlands pula tiada pertandingan di semua peringkat.

Katanya, ini kerana ketua bahagian, ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan ketua Srikandi bersama ahli jawatankuasa (AJK) menang tanpa bertanding di empat bahagian itu.

“Kita jangkakan pemilihan ketua bahagian BERSATU Temerloh hangat kerana penyandangnya, Mohd Anuar Aziz bakal dicabar bekas Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, 71, dan Ketua BERSATU Cawangan Bandar Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan, 48.

“Pemilihan BERSATU Bahagian Temerloh dijadualkan pada 7 Mac ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Omar berkata, pemilihan peringkat bahagian di Pahang dimulakan di Kuantan dan Lipis esok, diikuti Rompin, Kuala Krau dan Cameron Highlands, Ahad ini.

“Bahagian Jerantut dan Pekan pula pada 22 Februari, Paya Besar dan Raub (23 Februari) manakala Bentong dan Bera (29 Februari),” katanya.

Beliau berkata, Maran dan Indera Mahkota pula menyaksikan tiada pertandingan merebut sebarang jawatan berikutan masalah teknikal di bahagian itu.

Bahagian yang sudah memperoleh mandat kepemimpinan akar umbi ialah Ketua BERSATU Bahagian Paya Besar, Mohd Yazid Mohd Yunus; Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Roslan Hassan (Bentong) dan Dr Abdul Rashid Mohamed Ali (Cameron Highlands).

Berita Harian X