Jumaat, 14 Februari 2020 | 6:07pm
Mohamed Azmin (tengah) menyerahkan replika cek RM5 juta kepada Ahmad Samsuri (dua dari kanan) disaksikan Syed Suhairi (empat dari kanan) untuk projek pembinaan masjid baharu di Kem Seri Pantai, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR

'Tumpu pembangunan negara daripada fikir dakwaan tandatangan SD' - Mohamed Azmin

KUALA NERUS: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negara dan tidak terbabit dalam agenda politik termasuk berkaitan peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Saya ingin tegaskan dan ulangi pendirian saya, iaitu untuk tumpu kepada soal pembangunan daripada memikirkan dakwaan (saya) menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan replika cek untuk projek pembinaan masjid baharu di Kem Seri Pantai, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyertai jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid itu bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pegawai Pemerintah Kem Seri Pantai, Leftenan Kolonel Syed Suhairi Syed Hussin.

Timbalan Presiden PKR itu mengulas dakwaan portal berita Sarawak Report bahawa ada antara Ahli Parlimen menandatangani SD bagi menyokong Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Portal berkenaan yang memetik sumber, melaporkan ada Ahli Parlimen daripada UMNO, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta PKR digesa untuk ke Kuala Lumpur bagi menandatangani SD terbabit.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Putrajaya, antara lain turut membincangkan isu peralihan kuasa yang menimbulkan banyak spekulasi sejak kebelakangan ini.

Dalam pertemuan itu, Anwar dilaporkan berkata, beliau membangkitkan usaha PAS, sekumpulan pemimpin UMNO dan sebilangan kecil pemimpin PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan SD bagi menyokong kepemimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu juga menegaskan, beliau cenderung supaya Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November depan, namun perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden PH, 21 Februari ini.

PAS sebelum ini dilapor menyatakan pendirian untuk menyokong kepemimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal menerusi usul undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

UMNO pula seperti didedahkan bekas Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Lokman Noor Adam, Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang melobi Ahli Parlimennya untuk mendapatkan SD untuk menyokong Dr Mahathir.

Berita Harian X