Sabtu, 15 Februari 2020 | 2:42pm
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Foto MUSTAFFA KAMAL

PAS kekal teruskan usul undi percaya kepada Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: PAS akan tetap meneruskan usul undi percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal menerajui negara sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Pendirian itu kerana parti berkenaan mengambil kira bahawa rakyat berhak untuk tahu siapa akan menerajui negara sehingga pilihan raya umum akan datang walaupun Dr Mahathir sudah mengulangi komitmen menyerah kuasa selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia (APEC), November ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika dihubungi BH, berkata Perdana Menteri adalah hak rakyat, bukan hanya milik parti politik tertentu.

“Sehingga kini, kita akan teruskan (usul undi percaya kepada Perdana Menteri). Rakyat nak tahu siapakah yang menerajui negara. Perdana Menteri adalah hak rakyat, bukan hanya (milik) sesuatu parti politik,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak akan meneruskan usul itu jika ada pihak mahu membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

“Kalau ada usul tidak percaya, PAS tidak perlu membawa usul yang tujuannya adalah sama,” katanya sambil menambah, usul undi percaya bukan perkara baharu.

Katanya, usul sedemikian pernah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1997 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu untuk menyokong Dr Mahathir selaku Perdana Menteri.

“Perdana Menteri perlu mendapat mandat dan sokongan bagi meneruskan kepemimpinannya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Twitternya, memaklumkan peralihan kuasa Perdana Menteri tidak akan menjadi isu jika Anwar mendapat cukup sokongan dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu terbabit dalam isu peralihan kuasa memandangkan hal sedemikian membabitkan urusan PH sebagai parti pemerintah.

“Usul undi percaya dan hal berkaitan penggantian Perdana Menteri ketujuh kepada Perdana Menteri kelapan adalah urusan kerajaan PH.

“Sekiranya Perdana Menteri ketujuh setuju berhenti dan beliau kata selepas APEC November ini dan Anwar mendapat sokongan 112 daripada 138 Ahli Parlimen PH, maka tiada sebarang isu, tetapi kalau 26 atau lebih Ahli Parlimen dari PH tidak setuju?” katanya sambil meninggalkan persoalan.

Semalam, Dr Mahathir menafikan beliau terbabit dalam sebarang kegiatan atau kumpulan yang cuba menghalang Presiden PKR yang juga Ketua Umum PH menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau berjanjii meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas APEC pada November depan.

Pendirian itu menyusul selepas Anwar mengeluarkan kenyataan berbincang bersama Dr Mahathir berhubung isu peralihan kuasa berikutan terdapat tindakan wakil rakyat PAS, Umno dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Anwar dipetik berkata, beliau cenderung Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak APEC dan perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), 21 Februari ini.

Isu peralihan kuasa Perdana Menteri kembali hangat selepas beberapa pimpinan politik terutama dari PKR tampil menggesa supaya tarikh peralihan kuasa yang lebih jelas ditetapkan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X