Sabtu, 15 Februari 2020 | 10:52pm
Kamaruddin (tengah) tiba bagi merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok BERSATU bahagian Tanah Merah, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, Tanah Merah. - NSTP/Syamsi Suhaimi
Kamaruddin (tengah) tiba bagi merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok BERSATU bahagian Tanah Merah, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, Tanah Merah. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Ahli tiada pengalaman punca isu dalam BERSATU Kelantan

TANAH MERAH: Beberapa isu yang timbul berhubung pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di negeri ini dicetuskan oleh ahli yang tidak berpengalaman dalam berpolitik.

Pengerusi Badan Perhubungan BERSATU Negeri Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor, mengakui timbul sedikit rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti itu di negeri ini, termasuk mengenai senarai ahli peringkat cawangan dan menuduh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tidak telus dalam menguruskan perjalanan parti.

Beliau berkata, beberapa isu itu juga menyumbang kepada penangguhan mesyuarat pemilihan termasuk isu teknikal menyebabkan ada bahagian yang belum bersedia.

“Kita berdepan dengan orang yang tiada pengalaman dalam berpolitik dan berparti. Ada (ahli) yang tidak berpuas hati dengan pengurusan dan mahu beberapa perkara contohnya senarai ahli peringkat cawangan, kita hanya bagi kepada cawangan yang bertanding.

“Kalau ada salah laku, buat laporan kepada JPP sebab ini urusan dalam parti, kenapa nak lapor kepada polis sedangkan ini bukan kes polis.

“Ada juga yang tidak berpuas hati dengan JPP sedangkan setiap JPP menguruskan mesyuarat bahagian yang berbeza dan ada ketelusannya,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok BERSATU bahagian Tanah Merah, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, di sini hari ini.

Kamaruddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penangguhan pemilihan BERSATU membabitkan beberapa bahagian di negeri ini yang sepatutnya berlangsung hari ini dan esok.

Beliau berkata, bahagian yang belum mengadakan pemilihan boleh memilih mana-mana tarikh yang dirasakan sesuai sehingga 29 Mac ini.

“Apabila sudah bersedia, bahagian boleh pilih mana-mana hari dan beritahu kepada (peringkat) negeri akan tarikh itu,” katanya.

Dalam mesyuarat cawangan berkelompok BERSATU bahagian Tanah Merah yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, pada hari ini, Kamarudin menyifatkan ia adalah sesuatu yang unik kerana tiada pertandingan, sebaliknya semua pimpinan tertinggi menang tanpa bertanding.

Ketua Bahagian disandang oleh Bahari Mohamad Nor, diikuti timbalannya, Baharudin Yusof manakala Naib Ketua Bahagian pula ialah Fatah Mohammad.

Ketua Srikandi bahagian disandang oleh Zaleha Che Kob yang juga Ketua Srikandi Kelantan dan jawatan Ketua Armada bahagian juga masih kekal dipegang Ridhwan Nordin.

“Saya sangat menghargai semua pihak atas kesediaan mana-mana yang sedia berundur demi kelangsungan parti dan Tanah Merah mencipta sejarah kerana tiada pertandingan dibuat dan calon menang tanpa bertanding,” katanya.

Berita Harian X