Rabu, 19 Februari 2020 | 10:07am
Ketua bahagian BERSATU Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor (tiga dari kiri) bergambar bersama pimpinan lain selepas pemilihan parti itu di Kelab Golf Bukit Beruntung - Foto ihsan BERSATU
Ketua bahagian BERSATU Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor (tiga dari kiri) bergambar bersama pimpinan lain selepas pemilihan parti itu di Kelab Golf Bukit Beruntung - Foto ihsan BERSATU

Ahli biasa menang Ketua BERSATU Hulu Selangor

BUKIT BERUNTUNG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar, tewas dalam pemilihan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Hulu Selangor.

Dalam keputusan diumumkan jam 2.05 pagi Isnin oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU Bahagian Ampang , Zulkifli Mohamad, jawatan itu dimenangi ahli biasa BERSATU Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor.

Jawatan Timbalan Ketua Bahagian dimenangi oleh Khairul Azahari Saut, manakala Naib Ketua dimenangi Muhammad Aizad Sulaiman.

Bagi jawatan sayap, Ketua ARMADA bahagian dimenangi Mohamad Zikri Faiz Zahar dan Naib Ketua disandang, Muhammad Alfikri Kahar, sementara Ketua Srikandi bahagian dimenangi Fadilah Ali.

Sementara itu, Anuar melahirkan rasa syukur pemilihan pimpinan utama BERSATU bahagian itu berjaya diselesaikan dengan suasana aman dan tenteram.

“Kami gembira kerana ahli matang memilih pimpinan bahagian Hulu Selangor demi kelangsungan perjuangan membela nasib mereka sepanjang masa.

”Saya akan rapatkan barisan kepimpinan lama dan baharu untuk bekerja keras supaya BERSATU terus memenangi hati rakyat,” katanya.

Anuar berkata, anak muda dari sayap ARMADA perlu diberi peluang berkhidmat untuk parti agar terus relevan menjadi pilihan utama.

Katanya, mereka akan menyusun atur cawangan lebih kemas dan juga menambah ahli agar lebih kuat dalam semua aspek.

Berita Harian X