Khamis, 20 Februari 2020 | 4:48pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Hanya ada mesyuarat Majlis Sekretariat PH - Saifuddin

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata hanya ada mesyuarat Majlis Sekretariat Pakatan Harapan (PH) akan diadakan sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH, malam esok.

Katanya, beliau tidak tahu mengenai dakwaan ada satu pramesyuarat sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Beliau berkata, pada pengetahuannya hanya satu mesyuarat Majlis Sekretariat akan berlangsung tiga jam sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH diadakan.

“Pramesyuarat tidak ada, cuma semalam kami adakan (mesyuarat) Majlis Sekretariat. Dalam pertemuan itu kami bersetuju untuk mendahului mesyuarat 21 Februari (Majlis Presiden PH) yang diadakan pada jam 8.30 malam, Majlis Sekretariat pula akan diadakan tiga jam sebelum itu.

“Tujuannya (Majlis Sekretariat) adalah supaya kami boleh sampaikan segala arahan dan tekankan kepada semua untuk kembali pada asas iaitu dari segi menguasai lapangan serta program penyampaian maklumat yang terus kepada rakyat.

“Sebelum PH menjadi kerajaan, antara kekuatan kami adalah kami cepat menguasai lapangan dan menerangkan kepada rakyat mengenai sesuatu perkara.

“Jadi kami fikir selepas menjadi kerajaan lebih 20 bulan, aspek ini perlu diberi penekanan yang lebih kemas dan tersusun dengan meminta pimpinan PH di setiap negeri memulakan gerak kerja berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, mesyuarat Majlis Sekretariat berkenaan itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah dan disertai oleh semua Setiausaha Agung parti komponen PH.

Sebelum ini, media melaporkan ada dakwaan enam pemimpin kanan PH akan mengadakan satu pramesyuarat sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Presiden PH yang dikatakan akan turut membincangkan mengenai tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH dan Ketua Umum PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara enam pemimpin yang disebut akan menyertai pramesyuarat berkenaan ialah Dr Mahathir; Anwar; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengenai desakan beberapa ketua pemuda PKR yang mahu satu tarikh khusus bagi peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Anwar ditentukan, Saifuddin berkata sebarang pendirian daripada PKR seharusnya dibincangkan di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Kita tidak boleh ambil satu pandangan sahaja, kerana ia tidak adil kepada Keadilan (PKR). Kalau lihat pada pandangan satu atau dua daripada mereka, ia seolah-olah adalah gambaran sebenar apa yang sedang berlaku.

“Contohnya, seorang ini mengeluarkan satu kenyataan tetapi tajuk berita menampakkan ia mewakili keseluruhan ahli, ia sangat tak adil untuk parti. Sebab itu saya sangat hati-hati dalam memberikan komen. Komen saya hanya mengikut tertib, sesuatu keputusan politik itu dibuat mestilah bersandarkan kepada kuasa pembuat keputusan parti,” katanya.

Berita Harian X