Jumaat, 21 Februari 2020 | 10:32pm
Hassan (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Kota Bharu, hari ini. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hassan (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Kota Bharu, hari ini. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

'Kita percaya ada muslihat'

KOTA BHARU: Beberapa cawangan BERSATU Bahagian Pengkalan Chepa didakwa berlaku penipuan, termasuk ada nama ahli yang layak menghadiri mesyuarat dikatakan dibuang daripada senarai sepatutnya.

Calon jawatan Ketua BERSATU Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Hassan Harun, mendakwa keadaan berlaku sejak dua minggu lalu itu bukan sahaja mengecewakan, malah boleh memusnahkan parti berkenaan di Kelantan.

Bagaimanapun, Ketua Penaja BERSATU Bahagian Pengkalan Chepa, Ahmad Nasruddin Abdullah, ketika dihubungi enggan memberi komen berhubung semua dakwaan itu dan menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi untuk mengambil tindakan.

“Kami diarahkan oleh (BERSATU) pusat agar tidak membuat komen berhubung sebarang kekecohan yang berlaku pada peringkat bahagian.

“Kita ada saluran yang betul. Sepatutnya apa yang tidak puas hati disalurkan kepada pusat, tidak guna berbalah melalui sidang media,” katanya.

Terdahulu, Hassan berkata, pihaknya sudah menghantar surat bantahan kepada pucuk kepimpinan BERSATU Pusat dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), selain membuat laporan polis berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.

“Sepatutnya, kesemua 29 cawangan bermesyuarat pada hari ini. Namun, ia hanya membabitkan 19 cawangan, manakala yang selebihnya tidak dibenarkan atas alasan tidak cukup kuota padahal itu tidak benar.

“Di beberapa cawangan pula berlaku nama ahli yang layak menghadiri mesyuarat, dikeluarkan dan diletak di merata-rata cawangan lain tanpa pengetahuan mereka.

“Kita percaya ada muslihat tertentu di sebalik kejadian yang berlaku ini,” dakwa beliau pada sidang media selepas meninjau mesyuarat BERSATU Cawangan Pasir Kasar, di sini, hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X