Ahad, 23 Februari 2020 | 8:27pm
Gambar fail, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh. - Foto Amran Hamid
Gambar fail, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh. - Foto Amran Hamid

Jangan khianati mandat rakyat

ALOR SETAR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya mengkhianati mandat yang diberikan rakyat pada Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, dengan membentuk kerajaan baharu.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata situasi yang berlaku ketika ini disebabkan agenda peribadi pemimpin yang gelojoh kuasa sama ada daripada pembangkang atau dalam kalangan pimpinan PH sendiri.

Katanya, jika pimpinan PH tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, sepatutnya mereka menunggu mandat rakyat pada PRU akan datang dan bukannya berusaha membentuk kerajaan sesama sendiri.

"Ini (wakil rakyat) pembangkang nak jadi kerajaan, padahal rakyat memang pilih mereka sebagai pembangkang. Mereka (kemudian) bentuk jadi muafakat nasional

"Yang dalam kerajaan pun ada juga yang ‘gatal’ nak gabung sekali jadi Pakatan Nasional. Apapun kita tak hormat (mereka).

"Kalau betul berlaku pertukaran kerajaan, maka kita rasakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam proses demokrasi pilihan rakyat," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Srikandi BERSATU Kedah, Halimaton Saadiah Saad, berkata beliau tidak tahu mengenai khabar angin akan berlakunya pertukaran kerajaan.

"Saya dengar kata kawan (pimpinan BERSATU) di Kuala Lumpur masih dalam mesyuarat. Jika ada apa-apa maklumat, saya akan beritahu," katanya ketika dihubungi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X