Isnin, 24 Februari 2020 | 4:51pm
Guan Eng menegaskan DAP mengutuk perbuatan menubuhkan kerajaan pintu belakang. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Guan Eng menegaskan DAP mengutuk perbuatan menubuhkan kerajaan pintu belakang. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

DAP kutuk kerajaan pintu belakang

KUALA LUMPUR: DAP mengutuk perbuatan khianat pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang cuba menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang bagi menggantikan kerajaan sedia ada.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad menentang usaha khianat itu untuk cuba menolak mandat diberikan rakyat kepada PH dengan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BERSATU.

“Saya sudah jumpa Tun pagi tadi di kediamannya dan terkejut apabila dimaklumkan niatnya untuk meletakkan jawatan.

“Saya juga mahu mengesahkan laporan akhbar ‘Dr M quits as he does not want to work with UMNO’ di mana Tun Dr Mahathir dengan jelas menyatakan pendirian tidak boleh bekerja dengan UMNO dan berjaya menolak parti itu sepenuhnya melalui Pilihan Raya Umum 2018,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga mengesahkan PH akan mengadakan mesyuarat malam ini.

Katanya, DAP memuji prinsip Dr Mahathir yang didakwa enggan bekerjasama dengan pemimpin UMNO yang terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa hingga Malaysia dilabel negara kleptokrasi paling teruk.

“Ini kali pertama Perdana Menteri Malaysia bersedia melepaskan jawatan sebagai asas untuk menegakkan integriti dan memerangi rasuah.

“Konsistensi ini dan prinsip menolak UMNO korup harus disokong oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata DAP juga berhasrat mencadangkan kepada mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Harapan malam ini untuk mencalonkan semula Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekali gus dapat menunaikan janji manifesto dalam PRU-14 lalu.

Berita Harian X