Khamis, 5 March 2020 | 6:50am
DATUK Seri Mukhriz Mahathir. - Foto Amran Hamid
DATUK Seri Mukhriz Mahathir. - Foto Amran Hamid

Mukhriz tekad pertahan Kedah di tangan BERSATU

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertekad mempertahankan Kedah, yang kini menjadi satu-satunya negeri diketuai Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU, berkata kerajaan negeri Kedah masih tidak berubah kerana beliau tidak bersama pimpinan BERSATU di peringkat Pusat.

Jelasnya, dakwaan mengatakan bahawa kerajaan negeri dikuasai DAP juga tidak boleh diterima kerana parti itu hanya mempunyai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO).

“Walaupun keadaan kita umpama telur di hujung tanduk, kita tetap mempertahankan Kedah bermati-matian dan kita tak akan serahkan kerajaan negeri kepada PAS.

“Kita tak ada masalah di Kedah, tak ada isu. Menteri Besar kita Melayu, EXCO ramai Melayu dan kakitangan negeri juga hampir semuanya Melayu.

“Selepas Johor dan Perak, BERSATU tidak ada apa lagi. Jika tumbang Kedah, maka tumbanglah BERSATU pada peringkat nasional,” katanya ketika berucap pada Program Penerangan BERSATU Kedah di Seri Mentaloon di sini, malam tadi.

Majlis turut dihadiri Ketua Angkatan BERSATU Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Mukhriz menjelaskan, walaupun Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini menjadi Perdana Menteri, hakikatnya Kerajaan Persekutuan kini dikuasai UMNO dan PAS.

“Saya perlu jelaskan, sembilan Ahli Parlimen yang dibawa menyertai BERSATU oleh Datuk Seri Azmin Ali belum lagi mengisi borang dan keahlian mereka belum diluluskan.

“Kemudian, 14 lagi Ahli Parlimen yang menyertai BERSATU secara individu boleh dianggap sebagai Ahli Parlimen UMNO dengan hanya 12 Ahli Parlimen saja benar-benar bersama BERSATU.

“Daripada jumlah itu, enam tidak menyokong Muhyiddin. Jadi, disebabkan itu kita mengatakan jumlah yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tidak tepat,” katanya.

Mukhriz yang juga Menteri Besar menegaskan, hingga saat ini, Tun Dr Mahathir Mohammad masih memegang jawatan Pengerusi BERSATU selepas peletakan jawatannya ditolak Majlis Pimpinan Pusat.

“Kita mahukan kebenaran dan kita akan berusaha menyelamatkan parti ini selepas kita tidak boleh terima apa yang berlaku.

“Saya sangat percayakan Muhyiddin kerana kami pernah sakit bersama dan kami tubuhkan BERSATU bersama sehingga mampu memenangi 13 kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu,” katanya.

Berita Harian X