Jumaat, 13 March 2020 | 8:45pm
Ahmad Faizal pada sidang media di Hotel Lanai Casuarina, di sini selepas mengangkat sumpah bagi jawatan itu di Istana Iskandariah, di sini, hari ini. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Ahmad Faizal pada sidang media di Hotel Lanai Casuarina, di sini selepas mengangkat sumpah bagi jawatan itu di Istana Iskandariah, di sini, hari ini. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

'Saya manusia paling bertuah di Perak'

KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan dirinya sebagai orang paling bertuah di negeri ini susulan pelantikannya menyandang semula jawatan itu selepas kemelut politik yang melanda negeri ini sejak dua minggu lalu.

Beliau menzahirkan kesyukuran kerana berakhirnya kemelut berkenaan secara aman dan tertib berlandaskan keutamaan terhadap kepentingan rakyat yang mendahului kepentingan politik sama ada di sudut Perikatan Nasional (PN) mahu pun Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Faizal turut terharu apabila membaca ucapan tahniah ke atasnya susulan pelantikan semula sebagai menteri besar yang disampaikan beberapa pemimpin parti komponen PH negeri termasuk Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Asmuni Awi.

“Saya bersyukur kerana ‘rakan baharu’ dalam pentadbiran baharu (Perikatan Nasional) ini lebih mengambil sikap berlapang dada dan tidak gopoh (dengan pelantikan sebagai Menteri besar), sekali gus memperlihatkan peralihan ini bukan bersifat mementingkan sesuatu puak atau parti.

“Peralihan kuasa ini berjalan dengan begitu baik, dengan saya sendiri melihat adanya rakan dalam kerajaan negeri terdahulu (PH) yang turut bersama, menyokong saya dalam peralihan ini,” katanya pada sidang media di Hotel Lanai Casuarina, di sini selepas mengangkat sumpah bagi jawatan itu di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak ke-12 pada 10 Mac lalu sebelum menyatakan sokongan terhadap PN Perak sekali gus menyebabkan pentadbiran PH di Perak tumbang selain Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) negeri secara sendirinya terbubar.

Ia sekali gus menyebabkan PN Perak terdiri daripada UMNO (25 kerusi), PAS (tiga kerusi) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) empat kerusi DUN memiliki majoriti untuk menubuhkan gabungan baharu sebagai kerajaan negeri.

Katanya, sudah tiba waktunya semua pemimpin parti di negeri ini bersatu di bawah panji negeri dengan menumpukan segala usaha memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, perjumpaan segera bakal diadakan bersama pemimpin atasan parti dalam PN negeri untuk membincangkan senarai EXCO negeri yang akan dilantik sebelum mempersembahkan senarai itu untuk perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Sebaiknya perjumpaan ini dibuat segera iaitu dalam tempoh seminggu ini dari sekarang memandangkan sebelum ini mesyuarat EXCO negeri gagal dijalankan sepanjang lebih lima minggu,” katanya.

Ditanya mengenai kriteria pemilihan EXCO baharu, Ahmad Faizal berkata, sudah tentu ia sebagaimana pemilihan anggota Kabinet di peringkat Pusat iaitu dinilai melalui tapisan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Selain itu, mereka (EXCO) akan dipastikan tiada rekod yang dilihat dapat membebankan kerajaan sekali gus bakal menimbulkan imej tidak baik terhadap kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria ketika ditemui berkata, parti itu akur dengan perkenan Sultan Nazrin Shah melantik Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

“Keputusan baginda tuanku adalah sangat tepat dan saya minta rakyat Perak turut menerima keputusan tuanku dengan hati terbuka. Baginda turut berharap tiada lagi polemik politik selepas ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X