X
Sabtu, 16 Mei 2020 | 12:12pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Adik Shahidan Kassim kembali kepada UMNO

KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang juga adik Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyertai semula UMNO selepas lebih 23 bulan menjadi ADUN Bebas apabila keluar parti itu sejak 2018.

Perkara itu disahkan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perlis, Azizan Sulaiman ketika dihubungi hari ini.

Azizan berkata, permohonan Ismail untuk menyertai semula parti itu sudah dihantar beliau sendiri sejak Februari lalu dan disahkan keahliannya semalam.

"Ya betul (Ismail sertai UMNO semula), sudah lama beliau menghantar borang keahlian dan kalau tidak salah saya pada Februari lalu dihantar melalui Bahagian Arau.

"Ketika beliau menghantar permohonan itu, namanya masih ada di dalam senarai (keahlian) dan belum dibuat pemutihan ke atas namanya memandangkan beliau tidak pernah sertai mana-mana parti selain UMNO lagi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis yang juga abang Ismail, Shahidan menyifatkan tindakan adiknya itu bukanlah menyertai UMNO semula tetapi kemunculan kembali dalam UMNO.

"Sebenarnya beliau masih ahli UMNO, cuma media sahaja yang gemburkannya sudah menyertai parti lain.

"Surat-menyurat sudah lama berlaku dan kita pun ada minta penjelasan beliau mengenai status keahliannya dalam UMNO dan beliau sahkan bahawa masih lagi ahli selain tidak pernah menghantar sebarang kertas hitam putih mengenai keluar UMNO sejak membuat pengumuman itu pada 2018," katanya.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan Ismail berhubung penyertaannya semula ke UMNO gagal selepas beliau tidak dapat dihubungi menerusi telefon bimbitnya sejak semalam.

Sejak semalam, tular di aplikasi WhatsApp mengenai surat jawapan mengenai kelulusan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Perhubungan UMNO Perlis berhubung permohonan dibuat Ismail bagi menyertai UMNO semula.

Ismail, 60, yang mengumumkan keluar UMNO pada Jun 2018 pernah dikaitkan penyertaannya sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Ogos tahun lalu selepas membuat pengakuan itu kepada media.

Namun, Setiausaha Agung BERSATU ketika itu, Datuk Marzuki Yahya menafikan penyertaannya selepas Marzuki mendakwa tidak pernah menerima borang penyertaan parti daripada ADUN Tambun Tulang itu.

Berita Harian X