X
Ahad, 17 Mei 2020 | 1:44pm

2 negeri ikut Kedah, tukar kerajaan?

KOTA BHARU: Dua lagi negeri dijangka bakal bertukar kerajaan seperti yang berlaku di Kedah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, mendakwa pihaknya mempunyai maklumat dua negeri itu dan kini usaha sedang dijalankan.

"Saya tidak mahu sebut dua negeri berkenaan namun semua orang sudah tahu mengenai perkara itu.

"Bagi negeri yang sudah bertukar kerajaan seperti Johor, Perak, Melaka dan hari ini Kedah, ini masa untuk kita bekerja demi rakyat.

"Namun, bagi yang belum bertukar kerajaan, sudah boleh bersiap sedia," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada imam dan bilal di Ketereh di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengatakan kejatuhannya disebabkan Datuk Seri Najib Razak yang menjadi dalang, Annuar berkata, Mukhriz berhak memberi pandangan tersendiri.

"Namun hakikatnya, apa yang berlaku ialah Perikatan Nasional (PN) sedang diperkasakan dalam kalangan parti politik yang bertekad memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Bukan sebab politik kerana kita mempunyai cabaran besar pasca-COVID-19. Kita tidak mampu bertelagah isu politik dalam keadaan negara tidak stabil kerana tugas besar dan utama adalah menyelamatkan rakyat.

"Selepas ini, rakyat akan menghadapi masalah ekonomi, hilang kerja, perniagaan syarikat menurun. Ini semua memberi kesan besar kepada negara dan rakyat dan kita sebagai kerajaan akan menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X