Sabtu, 20 Jun 2020 | 1:30pm
Calon BN, Mohd Sharim Md Zain. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Calon BN, Mohd Sharim Md Zain. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Mohd Sharim azam sambung pembangunan di Chini

PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain berazam membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan itu, sebagai kesinambungan usaha wakil rakyat terdahulu.

Dikenali sebagai 'Cif' dalam kalangan belia, Mohd Sharim, 41, berkata sebagai generasi kedua FELDA Chini 3, masih ada perkara boleh ditingkatkan di kawasan itu walaupun pelbagai perubahan dilakukan oleh Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun sejak menjadi wakil rakyat pada 2004.

Anak jati FELDA Chini 3 itu kerap mendengar perancangan Allahyarham yang juga mentornya dan bertekad meneruskan legasi ditinggalkan mentornya dalam bidang politik.

"Sebagai contoh, saya harap dapat menyelesaikan keluhan orang muda yang mahu lebih banyak mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Sekarang banyak urusan perbankan dilakukan secara dalam talian, maka sukar bagi mereka mengeluarkan wang dengan bilangan mesin terhad dan agak jauh," katanya.

Pada PRK Chini 4 Julai ini, BN ditentang dua calon Bebas iaitu Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Mohd Sharim turut melihat faktor usia dan pembabitannya bersama Abu Bakar sebagai nilai tambah baginya menemui pengundi kerana mereka sudah biasa dan kerap melihatnya menguruskan pelbagai program kemasyarakatan di sekitar FELDA Chini, termasuk program Pesta Lemang Chini yang menjadi tradisi tahunan masyarakat setempat.

Walaupun dilihat berdepan laluan mudah kerana hanya ditentang calon Bebas, beliau enggan memandang ringan kempen kerana menyedari amanah besar pucuk pimpinan BN yang dipikulnya.

Mengakui gerak kerja berbeza berbanding kempen disertai sebelum ini, beliau bertekad bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi.

"Walaupun ada kekangan normal baharu kerana pandemik COVID-19, saya mahu memastikan kempen bukan hanya di kawasan FELDA, kampung tradisi dan kampung Orang Asli," katanya.

Berita Harian X