Sabtu, 27 Jun 2020 | 10:42pm
Hamzah bersama anggota RELA di FELDA Chini Timur 3 hari ini. - foto BERNAMA
Hamzah bersama anggota RELA di FELDA Chini Timur 3 hari ini. - foto BERNAMA

PRK CHINI: Tiada masalah untuk Hamzah bantu kempen calon BN

PEKAN: Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tidak ada masalah baginya untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang sedang berlangsung, walaupun beliau sudah meninggalkan parti itu.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri, menjelaskan bahawa perkara itu tidak menjadi masalah kepadanya memandangkan beliau berpegang kepada prinsip perjuangan sejak dari UMNO hingga menyertai BERSATU.

"Agenda perjuangan saya adalah untuk agama, bangsa dan negara. Kalau saya bersama mana-mana parti sekalipun, asalkan ia mengikut apa yang saya perjuangkan dan sama dengan prinsip saya, maka saya akan tegas keluar untuk membantu.

"Kalau dahulu semasa saya bersama Pakatan Harapan (PH), mungkin saudara saudari tidak pernah melihat, malah dalam Parlimen pun, saya tidak bercakap apa-apa (tentang perjuangan PH)," katanya selepas menghadiri Majlis Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3 di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), Hamzah yang ketika itu ahli UMNO menang atas tiket BN sewaktu kerajaan BN tumbang pada PRU itu. Pada Disember 2018, beliau keluar UMNO bersama beberapa orang lagi Ahli Parlimen UMNO dan menyertai BERSATU sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung BERSATU pada Mac lalu.

Ditanya mengenai dakwaan beliau ada bertemu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Hamzah hanya berkata ia adalah pertemuan peribadi individu yang sudah tidak berjumpa selama beberapa tahun dan perkara yang dibincangkan adalah perkara peribadi yang tidak perlu dihebahkan kepada umum.

Pengundian PRK DUN Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertembungan antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, dan calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga penulis blog.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. – BERNAMA

Berita Harian X