Selasa, 30 Jun 2020 | 6:10pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.

'Saya tidak akan merayu'

BUKIT MERTAJAM: "Saya tidak akan buat rayuan bila dapat surat pemecatan itu nanti."

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, adalah antara lima pemimpin PKR yang dipecat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu, kelmarin.

Beliau berkata, surat pemecatan itu belum diterima dan hanya mengetahui menerusi laporan media.

"Saya belum terima secara rasmi surat pemecatan daripada parti dan hanya tahu daripada media.

"Tunggu dapat surat saya akan buat sidang media, cuma apa yang ingin saya maklumkan ialah saya tidak akan buat rayuan," katanya ketika ditemui di Yayasan An Nahdhoh, hari ini.

Selain Zulkifli, empat lagi pemimpin PKR yang dipecat adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Ketua Wanita, Haniza Mohamed; Ketua Wanita Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria dan Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid.

Mengenai hala tuju politiknya selepas ini, Zulkifli memberi bayangan akan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Minggu lalu, tular di laman sosial gambar Zulkifli bersama empat ADUN dari Pulau Pinang mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia mengundang spekulasi kononnya ada cubaan menjatuhkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini menyatakan kerajaan Pulau Pinang tidak tergugat dengan usaha wakil rakyat berkenaan.

Berita Harian X