Khamis, 16 Julai 2020 | 4:39pm
Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU akan diadakan pada 27 September ini. Gambar dirakam pada 2018. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU akan diadakan pada 27 September ini. Gambar dirakam pada 2018. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Muhyiddin, Ahmad Faizal menang tanpa bertanding

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Berdasarkan senarai calon layak bertanding dalam Pemilihan BERSATU yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) hari ini, hanya nama Muhyiddin yang juga Perdana Menteri dan Ahmad Faizal, Menteri Besar Perak menjadi calon bagi mengisi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pengerusi JPP, Tan Sri Syed Hamid Albar ketika mengulas senarai pencalonan itu bagaimanapun berkata, pengumuman rasmi untuk kedua-dua jawatan itu akan dibuat selepas semua bahagian bersidang pada 22 Ogos ini.

"Secara prinsip, kedua-duanya sudah memenangi jawatan masing-masing tetapi akan diumum secara rasmi selepas semua Bahagian BERSATU selesai bersidang.

"Senarai pencalonan yang dikeluarkan JPP hari ini untuk memberi peluang kepada calon menyemak dan mengesahkan nama serta gelaran darjah kebesaran dan gelaran akademik, sebelum dicetak untuk diedarkan ke semua bahagian," katanya kepada BH, hari ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum ini memutuskan persidangan peringkat bahagian pada 22 Ogos, ARMADA Bahagian pada 15 Ogos dan Srikandi pada 16 Ogos. Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pula ditetapkan pada 27 September ini.

Syed Hamid turut berkata, senarai nama yang dikeluarkan JPP hari ini muktamad dan calon yang dipecat atau terhenti keahliannya tidak layak bertanding.

Sebelum ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut merebut jawatan Presiden, namun namanya tergugur selepas keahliannya terhenti pada 28 Mei lalu kerana melanggar peraturan parti apabila duduk di blok pembangkang ketika Sidang Rakyat pada 18 Mei.

Turut terhenti keahlian BERSATU sebelum ini ialah bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli MPT, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Bekas Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahaya yang sebelum ini mahu merebut jawatan Timbalan Presiden, turut tergugur daripada pencalonan selepas beliau dipecat daripada parti pada 2 Jun lalu.

Pemilihan BERSATU kali ini juga menyaksikan jawatan Pengerusi BERSATU tidak dipertanding selepas bekas penyandangnya, Dr Mahathir yang sebelum ini diumum menang tanpa bertanding, tidak lagi menjadi ahli parti.

Sementara itu, bagi perebutan tiga jawatan Naib Presiden, seramai 17 calon layak bertanding antaranya Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut layak bertanding ialah Menteri di JPM (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Datuk Abdul Rashid Asari dan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga penyandang jawatan itu turut layak bertanding.

Pertandingan bagi merebut 15 kerusi MPT pula menyaksikan seramai 163 orang layak bertanding antaranya Mustapa, Timbalan Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz.

Perebutan jawatan Ketua ARMADA pula menyaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dicabar Exco ARMADA, Mohd Muzzamil Ismail.

JPP turut menyenaraikan empat nama yang layak bagi merebut jawatan Ketua Srikandi, iaitu Menteri Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Datin Izza Ismail, Zuhuraina Makmur dan Azlina Mehtab Mohd Ishaq.

Berita Harian X