Sabtu, 1 Ogos 2020 | 2:22pm
PKR Sabah akan menyaring dengan teliti calon bakal bertanding dalam PRN. Foto NSTP
PKR Sabah akan menyaring dengan teliti calon bakal bertanding dalam PRN. Foto NSTP

PKR Sabah muktamad calon, kerusi minggu depan

KOTA KINABALU: PKR Sabah akan memuktamadkan senarai nama calon serta kerusi yang akan ditandingi minggu depan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusinya, Datuk Christina Liew, berkata beliau menjangkakan menerima cadangan calon di seluruh negeri itu dalam tempoh beberapa hari ini.

"Kali ini, ada banyak faktor yang perlu diambil kira. Justeru, kita akan buat saringan teliti latar belakang nama dicadangkan. Latar belakang calon disaring termasuk pendidikan, kewangan dan kecenderungan politik.

"Ia bukan keputusan saya seorang, tetapi keputusan bersama dengan Biro Jawatankuasa Pilihan Raya parti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin akar umbi di Cabang PKR Inanam, di sini, hari ini.

Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata demikian ketika mengulas pelan PKR Sabah untuk memastikan calon PRN itu mempunyai kredibiliti serta boleh dipercayai.

Ia susulan bekas Naib Pengerusi PKR Sabah, yang juga ADUN Inanam, Kenny Chua dilihat menyokong bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Rabu lalu, dalam usaha merampas kerajaan negeri yang diterajui Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Kenny adalah antara beberapa wakil rakyat yang dilihat menghadiri sidang media oleh Musa di kediamannya Rabu lalu. Turut menghadiri sidang media itu bekas Ketua Cabang PKR Libaran, Jaffari William.

Pada 28 Februari lalu, Jaffari bertindak keluar parti, dengan alasan hilang keyakinan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR memenangi dua daripada lapan kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

PRN Sabah bakal diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima pemakluman rasmi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Khamis lalu, berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengumumkan pembubaran DUN Sabah dan mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Sementara itu, Christina berkata, rundingan pengagihan kerusi yang akan ditandingi terutama 13 kerusi baharu untuk Sabah akan dibincangkan dalam parti sebelum dibawa kepada parti komponen PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Beliau berkata, PH Sabah akan membuat keputusan mengenai pembahagian kerusi DUN dan akan menyerahkan senarai itu kepada Ketua Menteri.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan PKR Sabah akan bertanding di mana-mana kerusi baharu itu namun menekankan mereka akan melihat kepada sebarang kemungkinan untuk meletakkan penyandang kerusi serta muka baharu dalam PRN nanti.

"Apa yang penting untuk PKR ialah kita perlu bekerjasama bawah PH serta dengan WARISAN dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Kinabalu (UPKO) sebagai satu pasukan.

Berita Harian X