Sabtu, 1 Ogos 2020 | 2:26pm
Datuk Seri Hajiji Noor.
Datuk Seri Hajiji Noor.

BERSATU Sabah tandingi 45 kerusi

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah bakal meletak calon di 45 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pihaknya akan bermesyuarat minggu depan mengenai persiapan jentera parti di setiap kawasan DUN Sabah.

"Kita sudah bersiap-sedia dan mengenal pasti 45 kerusi DUN yang akan ditandingi calon BERSATU.

"BERSATU akan mengemukakan calon yang berwibawa, mempunyai kredibiliti, berkemampuan dan mampu memenangi kerusi ditandingi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan kemenangan dalam PRN Sabah kelak.

Katanya, BERSATU juga akan menawarkan manifesto dan hala tuju terbaik untuk rakyat Sabah, selain fokus untuk membangunkan semula ekonomi selepas wabak COVID-19 sekiranya diberi peluang menerajui kerajaan negeri.

Beliau berkata, aspek lain yang akan menjadi keutamaan ialah memastikan hak dan kepentingan rakyat serta negeri dipertahankan.

"Kita akan pastikan negeri dan rakyat Sabah yang menetap di sini berasa selamat dan tenteram.

"Kita yakin BERSATU akan menjadi alternatif terbaik dan diterima oleh sebilangan besar rakyat untuk menerajui negeri.

"BERSATU Sabah akan melancarkan manifesto pilihan raya negeri sebelum tarikh penamaan calon," katanya.

Berita Harian X