Ahad, 2 Ogos 2020 | 12:58am
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/ASWADI ALIAS.

'Pendirian UMNO tidak sertai PN sudah dibangkitkan dalam mesyuarat MN'

KUALA LUMPUR: Pendirian UMNO untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen, sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketika memaklumkan perkara itu berkata UMNO telah membawa suara Majlis Tertinggi serta akar umbi yang tidak mahu parti berkenaan menyertai PN, dalam dua mesyuarat Jawatankuasa Induk MN.

"Hampir keseluruhan kepimpinan pada semua peringkat mahu UMNO kekal dalam Barisan Nasional (BN) dan terus memperkukuhkan kerjasama dengan PAS dalam MN.

"Justeru, apa yang disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan beliau baru-baru ini, adalah suara kolektif kepimpinan dan akar umbi UMNO.

"Malah, pendirian ini sudahpun dibangkitkan barisan 11 kepimpinan yang mewakili UMNO dalam Jawatankuasa Induk Perundingan MN yang turut disertai 11 kepimpinan tertinggi PAS," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook beliau, malam tadi.

Ahmad Zahid pada sidang media, Khamis lalu, menegaskan bahawa Ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan PN walaupun tidak menyertai gabungan itu secara rasmi.

Beliau yang juga Pengerusi BN dilaporkan berkata, UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan MN bersama PAS dan parti komponen BN.

Bagaimanapun, media semalam melaporkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, sebagai berkata parti itu tiada maklum akan keputusan UMNO untuk tidak menyertai PN.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, namun sebagaimana yang telah ditegaskan, UMNO akan terus mempertahankan kerajaan PN hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Kesepakatan juga dicapai dengan kepimpinan PAS untuk terus memperkukuh MN tanpa sekelumit perasaan untuk menggagalkan kerajaan PN yang dibentuk bersama demi rakyat dan negara," katanya.

Berita Harian X