Ahad, 2 Ogos 2020 | 11:31am

PN perlu runding, guna saluran betul

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) diingatkan untuk terus mengutamakan kerjasama antara parti komponen bagi menjamin kemenangan gabungan itu, khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata kepemimpinan parti komponen di Sabah seharusnya menggunakan saluran betul dengan baik bagi memastikan keputusan dapat dicapai secara sepakat.

"UMNO Sabah ada autonomi untuk membincangkan hal ini (PRN) dan Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin ada autonomi bagi menentukan calon.

"Mereka (BERSATU) boleh bincang di peringkat Sabah. Kalau mahu menang (pada PRN), jangan berpecahlah. Kalau bincang elok-elok tak ada masalah.

"Kalau mahu kalah, kita berlawanlah sesama sendiri. Bagaimanapun, saya ingat UMNO Sabah akan tentukan hala tuju seterusnya dan berharap bertanding untuk menang," katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menegaskan parti itu akan meletak calon di 45 kerusi pada PRN Sabah.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC), berkata keseluruhan Ahli Parlimen gabungan itu terus menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Kerajaan Persekutuan hari ini, berterusan dengan sokongan Ahli Parlimen. Sekarang tak ada masalah dan berterusan dengan sokongan Ahli Parlimen sehingga pilihan raya umum," katanya.

Berita Harian X