Ahad, 2 Ogos 2020 | 12:52pm
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. - Foto NSTP
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. - Foto NSTP

Hormati autonomi parti politik di Sabah - Wan Ahmad Fayhsal

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa UMNO menghormati autonomi parti politik di Sabah dalam menentukan jumlah kerusi akan ditandingi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata parti politik di Sabah mempunyai cara tersendiri bagi menguruskan penentuan jumlah kerusi di Sabah

Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Titiwangsa berkata, kesemua parti yang bersama Perikatan Nasional (PN) mempunyai autonomi di Sabah dan ia harus dihormati secara bersama.

"Kita harus hormati autonomi parti politik di Sabah. Saya rasa UMNO dan BERSATU Sabah ada formula tersendiri dalam menguruskan perbezaan, maka kita jangan tambah 'minyak dalam api yang marak'.

"BERSATU di Sabah bukan blok yang kecil, mempunyai 25 bahagian dan 500 cawangan. Sudah tentu hasrat dan cita-cita politik BERSATU Sabah untuk bertanding (45 kerusi) ada asasnya.

"BERSATU Sabah juga ada autonomi. UMNO Sabah pun ada autonomi. Maksudnya, tidak kira BERSATU atau UMNO, kita harus hormati autonomi itu dan saling menghormati antara parti," katanya dalam lawatan kerja di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan parti itu akan bertanding di 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan 'menegur' BERSATU supaya berunding terlebih dulu jumlah kerusi hendak ditandingi jika mengaku 'bersahabat' dengan UMNO.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau turut berpendapat parti politik di peringkat pusat tidak perlu masuk campur dalam urusan parti politik Sabah untuk menguruskan persediaan menghadapi PRN.

"Bagi saya, kita serahkan urusan politik Sabah kepada pimpinan politik Sabah. Biar Hajiji berbincang dengan (Datuk) Bung (Moktar Raden) secara harmoni sebagai satu keluarga besar.

"Saya rasa tidak perlu kita di Semenanjung mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris perasaan pimpinan di Sabah.

"Terlalu awal untuk mana-mana pihak memberikan komen, terutama jika ia hanya mengeruhkan keadaan. Kita patut utamakan setia kawan.

"Jangan bawa cara politik lama Semenanjung ke Sabah. Belajarlah daripada keangkuhan DAP yang membawa kepada kejatuhan kerajaan terdahulu," katanya.

Berita Harian X