Ahad, 2 Ogos 2020 | 1:49pm
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa minta pemimpin dalam PN berhenti keluar kenyataan yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk memenangi PRN Sabah. - Foto NSTP
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa minta pemimpin dalam PN berhenti keluar kenyataan yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk memenangi PRN Sabah. - Foto NSTP

Berhenti keluar kenyataan yang menjejaskan peluang PN di Sabah

KOTA BHARU: Parti membentuk kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan peluang gagasan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata semua pihak perlu memberi ruang kepada pucuk pimpinan parti bagi membincangkan segala perkara berkaitan PRN itu.

Beliau berkata, PRN Sabah diadakan agak mengejut dan ia memerlukan perbincangan teliti dalam PN, Muafakat Nasional (MN) serta UMNO Sabah.

"Kenyataan yang dikeluarkan individu tertentu berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi masih terlalu awal dan bakal menimbulkan kesulitan kepada parti yang akan bertanding nanti.

"PN belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung jumlah kerusi yang mahu ditandingi dan pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan berlaku pertandingan satu lawan satu saja dalam PRN itu," katanya kepada media hari ini.

Semalam, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pihaknya berhasrat bertanding di 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah kelak.

Manakala, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin pula berkata parti itu akan bertanding di 32 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan bersedia meletak calon di kerusi yang baru wujud.

Annuar berkata, terdapat tiga aspek unik yang perlu diteliti dan diberi pertimbangan oleh parti dalam PN kerana ia membabitkan legasi UMNO dan BERSATU di Sabah.

"Pertamanya dari sudut UMNO. Kita memutuskan UMNO Sabah ada autonomi mereka sendiri. Maka untuk membuat sebarang keputusan dasar, perlu tunggu di pihak UMNO Sabah.

"Kedua, struktur BN di Sabah juga berbeza sebab banyak parti politik yang dulu bersama BN, kini sebahagiannya sudah keluar parti.

"Aspek ketiga, hubungan di antara BERSATU dan UMNO. Umum tahu BERSATU Sabah ditubuhkan oleh mereka yang keluar daripada UMNO.

"Ketiga-tiga perkara unik ini memerlukan pucuk pimpinan berunding dan berbincang dengan baik," katanya.

Annuar berkata, BN dan PN perlu berusaha untuk melihat suasana politik Sabah kembali seperti sebelum ini menerusi formula politik yang mampu menyatupadukan rakyat Sabah.

Berita Harian X