Ahad, 2 Ogos 2020 | 1:49pm
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa. - Foto NSTP
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa. - Foto NSTP

BN, BERSATU perlu berunding hadapi PRN Sabah

KUALA LUMPUR: Rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah perlu dilakukan, dengan parti yang lebih kuat perlu diberi laluan untuk bertanding di kerusi diyakini menang.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata rundingan itu perlu demi memastikan berlaku pertandingan satu lawan satu di antara calon Perikatan Nasional (PN) dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

"BERSATU boleh bertanding seberapa banyak kerusi yang mereka mahu. Itu hak mereka. Cubalah. BN juga begitu.

"Namun kalau mahu 'straight fight' (satu lawan satu) lawan WARISAN, tentu kena berunding dan pastikan parti yang lebih kuat diberi laluan untuk bertanding," katanya dalam ciapan di Twitter beliau.

UMNO Sabah hari ini mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka dalam PRN kali ini.

Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta ketua-ketua UMNO bahagian di Sabah.

Semalam, Bung Moktar membayangkan UMNO negeri akan mempertahankan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka tandingi pada alam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuk bersedia bertanding di 13 DUN baharu.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dilaporkan parti itu mahu bertanding di 45 kerusi DUN dalam PRN yang bakal ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Berita Harian X