Selasa, 15 September 2020 | 2:47pm
Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP), Tan Sri Chong Kah Kiat.
Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP), Tan Sri Chong Kah Kiat.

PRN Sabah: 'Kita semua pernah bersama BN'

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan parti tempatan lain baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang di negeri ini, perlu mengakui pernah mempunyai ikatan dengan parti serta pemimpin dari Semenanjung.

Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP), Tan Sri Chong Kah Kiat, mengakui beliau sendiri selaku Presiden LDP sebelum ini tidak terkecuali.

Beliau menegaskan, pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan yang lain juga pernah menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN).

"Anda lihat Sabah hari ini dan tanya orang Sabah bahawa semua parti hari ini baik WARISAN, LDP, PBS, PCS, SAPP... semua pemimpin mereka sebelum ini adalah sebahagian daripada BN.

"Semua pemimpin (parti) ini, pada satu masa adalah sebahagian daripada parti persekutuan dan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan BN.

"Ini termasuk Ketua Menteri kita yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, malah 90 peratus hidup politiknya adalah dalam UMNO.

"Jadi apa maknanya apabila mereka tuduh saya menjadi sekutu kepada persekutuan sedangkan kita semua pernah menjadi sebahagian daripada persekutuan," katanya dalam pertemuan di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas dakwaan mengaitkan dirinya dan LDP sebagai sekutu kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, yang turut dikaitkan.

Kah Kiat yang juga bekas Ketua Menteri ketika Sabah melaksanakan sistem penggiliran, tertanya-tanya kenapa hanya beliau yang dikaitkan dengan kerajaan Persekutuan sedangkan Mohd Shafie pernah menjadi pemimpin ketiga tertinggi UMNO dan begitu lama menjadi menteri Kabinet.

"Jadi kenapa saya sahaja, kenapa mereka takut saya sedangkan mereka semua pernah berada dalam BN.

"Sekarang mereka kaitkan saya dengan Muhyiddin tapi saya tidak jumpa dia ketika datang sini. Siapa yang datang ialah Mohd Shafie," katanya.

Sementara itu, Kah Kiat yang bertanding atas tiket LDP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, berkata pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, berkata WARISAN tidak perlu menyembunyikan hakikat ia ada kaitan dan kerjasama dengan parti dari Semenanjung.

Selain UMNO dan BN, tegasnya, DAP dan PKR yang bergabung menerusi WARISAN Plus juga adalah parti Semenanjung.

"Kenapa fokus kepada UMNO dan BN sahaja sedangkan DAP dan PKR juga ada dalam WARISAN," katanya.

Ditanya sama ada parti dari Semenanjung masih mendapat tempat di hati pengundi Sabah, beliau berkata, ia terpulang kepada rakyat untuk memilih parti disukai kerana ia adalah hak mereka.

Kah Kiat menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan atau dari Semenanjung bagi membentuk kerajaan jika LDP tidak mendapat majoriti mudah pada 26 September ini.

Katanya, ia termasuk dengan WARISAN Plus selagi parti itu bersetuju dengan perjuangan LDP ke arah mengembalikan kegemilangan Sabah dan menyelesaikan segala isu yang berlaku di negeri ini khususnya masalah pendatang asing tanpa izin (PTI) seperti digariskan dalam manifestonya.

Pada PRN kali ini, LDP bertanding di 46 kerusi dengan harapan untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Kah Kiat berkata, isu berkaitan keagamaan tidak seharusnya dipolitikkan terutama dalam konteks Sabah yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.

Merujuk kepada isu patung Mazu di Kudat yang menjadi kontroversi kira-kira 14 tahun lalu, beliau berkata, semua orang perlu menghormati agama lain.

Katanya, isu sebenar ketika itu bukan berkaitan kebebasan beragama tetapi lebih kepada menghormati agama anutan masing-masing.

"Saya korbankan kedudukan saya bukan hanya kerana kebebasan beragama tapi yang lebih penting ialah untuk beritahu Sabah adalah tempat orang yang menghormati agama lain.

"Mazu tidak penting, yang penting ialah jangan ada politik ganggu isu agama," katanya ketika diminta mengulas manifestonya berkaitan menghormati kebebasan mengamalkan agama untuk Sabah yang lebih baik dan hubungannya dengan isu Mazu.

Isu Mazu berkaitan dengan pembinaan patung dewi laut atau Mazu mengikut kepercayaan Cina di sebuah tapak milik sebuah persatuan yang dikaitkan dengan Kah Kiat di Kudat pada 2007.

Pembinaan patung berkenaan pada mulanya mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), namun dibatalkan dengan campur tangan kerajaan negeri yang ketika itu dipimpin Musa.

Ia mencetuskan hubungan dingin antara Kah Kiat dan Musa sehingga kes itu dibawa ke mahkamah, namun akhirnya keputusan berpihak kepada kerajaan negeri.



Berita Harian X