Selasa, 18 Julai 2017 | 8:55pm
KEDIAMAN Mat Yatini Mispol yang musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar.- Foto Mohd Shukor Amin
KEDIAMAN Mat Yatini Mispol yang musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar.- Foto Mohd Shukor Amin

Rumah hangus ketika bincang kenduri kahwin

SABAK BERNAM: Sepasang suami isteri warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Jalan 10 Kampung Baru Nelayan dekat Sungai Besar, musnah dalam kejadian kebakaran, malam tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa, Mat Yatini Mispol, 65, dan isterinya, Zainah Baharom, 60, terselamat kerana tiada di rumah ketika kejadian kira-kira jam 10 malam itu.

Mat Yatini berkata, ketika kejadian beliau berada di rumah ibunya di Parit 4 Sungai Haji Dorani untuk berbincang mengenai urusan perkahwinan adiknya minggu depan.

"Kira-kira jam 10 malam, saya terima panggilan daripada anak memaklumkan rumah terbakar sebelum bergegas pulang ke rumah di Kampung Nelayan Baru.

"Sebaik sampai, seluruh rumah sudah hangus. Memang saya sedih sebab tiada barang yang dapat diselamatkan kecuali sebuah kereta jenis Mazda 626 dan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss. Itu pun jiran yang sempat alihkan," katanya.

Pesara Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu berkata, beliau menganggarkan kerugian kira-kira RM100,000 ekoran peralatan perniagaan jualan nasi lemak dan kuih-muih yang diusahakan di kampung itu turut musnah.

"Saya menyewa di rumah ini lebih lima tahun selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan. Mungkin saya terpaksa menumpang sementara di rumah ibu," katanya.

Nasib Mat Yatini dan isterinya turut mendapat perhatian daripada pemimpin setempat yang menziarahi mereka, termasuk Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

Berita Harian X