Khamis, 20 Julai 2017 | 1:13pm
ISMAIL Sabri (tiga dari kiri) mengadakan lawatan ke rumah seorang pesakit, Ibrahim Abdul Mutalib, 63 di Felda Ketengah Jaya, Dungun. - Foto Rosli Ilham

Kerajaan lulus RM200 juta untuk PRBN

DUNGUN: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk Projek Rumah Bina Negara (PRBN) kepada penduduk luar bandar di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu akan diagihkan masing-masing sebanyak RM100 juta kepada RISDA dan FELCRA.

Katanya, peruntukan pembinaan rumah itu akan diberi keutamaan kepada generasi kedua, terutama belia untuk memiliki kediaman sendiri.

"Rumah terbabit diberi melalui dua kaedah iaitu rumah bernilai RM65,000 dan kerajaan memberi subsidi RM20,000, bermakna mereka hanya perlu membayar RM45,000.

"Kaedah kedua, rumah berharga RM125,000 dan subsidi diberi kerajaan sebanyak RM50,000 di mana mereka hanya bayar sebanyak RM75,000," katanya ketika hadir pada Majlis Mesra Rakyat & Sambutan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di Felda KETENGAH Jaya yang dihadiri 10,000 penduduk sekitar.

Turut hadir Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad dan Pengurus Besar KETENGAH, Omar Ismail.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan geran tanah kepada 517 penduduk di kawasan KETENGAH serta menyerahkan Pusat Rehabilitasi dan sebuah van berharga RM159,000 bagi kegunaan pusat mengambil dan menghantar pesakit mendapatkan rawatan.

Ismail Sabri berkata, buat permulaan PRBN akan dibina di KETENGAH Jaya, membabitkan 43 buah rumah berharga RM75,000 seunit.

"Sebelum ini, peserta gagal memiliki rumah berikutan institusi kewangan tidak meluluskan pinjaman mereka kerana tidak mempunyai slip gaji.

"Menyedari keadaan itu, kerajaan mengadakan perbincangan dengan institusi perbankan termasuk Bank Negara Malaysia dan telah bersetuju meluluskan pinjaman kepada peserta," katanya.

Beliau berkata, ia adalah bukti kerajaan komited membantu masyarakat di luar bandar menikmati kehidupan yang selesa dan setanding dengan apa yang dinikmati di bandar.

Berita Harian X