Selasa, 25 Julai 2017 | 3:33pm
WAN Mohd Nor (kanan) bersama Khirudin menunjukkan aplikasi android pada telefon pintar bagi Jabatan Bomba Malaysia Kuala Lumpur. - Foto Surianie Mohd Hanif
PEGAWAI Bomba Bahagian Operasi Kebombaan Dan Penyelamat JBPM, Nor Fazilah Nasir menunjukkan aplikasi android pada telefon pintar bagi Jabatan Bomba Malaysia Kuala Lumpur. - Foto Surianie Mohd Hanif

JBPM KL lancar aplikasi android

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur hari ini melancarkan aplikasi android 'Bomba Kuala Lumpur' yang membolehkan masyarakat di sekitar ibu kota mengakses maklumat berhubung keselamatan di platform berkenaan.

Pelancaran itu dilangsungkan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim serta Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Khirudin Drahman di Ibu pejabat JBPM Kuala Lumpur dekat sini, hari ini.

Wan Mohd Nor berkata aplikasi android itu adalah langkah bijak JBPM Kuala Lumpur dalam mendekati masyarakat, seiring dengan pencapaian teknologi maklumat masa kini.

"Dengan adanya aplikasi ini, ia membantu masyarakat khususnya generasi muda di sekitar Kuala Lumpur mengakses maklumat ketika berhadapan dengan situasi semi kecemasan iaitu kecemasan yang boleh dikawal oleh mangsa sebelum melaporkan kepada pihak bomba.

"Contohnya, apabila berlaku kecemasan seperti terkunci di dalam kenderaan, orang awam boleh menggunakan aplikasi ini bagi mengetahui cara-cara awal semasa berhadapan situasi berkenaan," katanya.

Khirudin pula berkata pelancaran aplikasi ini adalah kerana kawasan ibu negara berisiko tinggi dengan kemalangan atau kecemasan.

"Aplikasi android ini hanya boleh diakses oleh orang awam yang berada di ibu kota sahaja kerana maklumat dalam platform ini mempunyai maklumat mengenai balai bomba di sekitar Kuala Lumpur dan memudahkan anggota bomba membantu mangsa berhampiran mereka," katanya.

Selain itu, turut diadakan pemberian sumbangan dua buah motosikal dan sebuah ambulans oleh Persatuan Antarabangsa Rotary Bukit Bintang kepada Persatuan Bomba Sukarela Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Berita Harian X