Khamis, 3 Ogos 2017 | 10:44pm

PIBG SK Taman Seri Gombak 2 anjur karnival kumpul dana

KUALA LUMPUR: Pelbagai aktiviti menarik dirangka Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Gombak 2, dekat sini bagi memeriahkan Karnival Jom Ceria yang akan dianjurkan di sekolah itu, Sabtu ini.

Program yang bertujuan mengumpul dana untuk pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan sekolah berkenaan, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Zakaria Abdul Karim, berkata dana itu juga untuk membiayai program ilmiah, pendidikan dan sahsiah murid seperti klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kem kokurikulum.

"Aktiviti sebegini akan turut memberi peluang kepada murid, ibu bapa dan guru untuk menimba pengalaman dalam bidang perniagaan," katanya di sini, hari ini.

Program juga turut mendapat sokongan gabungan komuniti di kawasan Seri Gombak seperti Warga Prihatin Sri Gombak dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Gombak A.

"Apa yang kita lihat sekolah bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu, tetapi juga menjadi mesra komuniti dengan pembabitan beberapa komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam aktiviti kemasyarakatan.

"Pelbagai aktiviti menarik dirangka seperti acara memanah, 'rumah hantu', pawagam mini serta beberapa lagi yang mampu menarik ramai pengunjung ke program ini," katanya.

Berita Harian X