Jumaat, 4 Ogos 2017 | 12:03am

Galeri Haji papar sejarah pelayaran ke Makkah

Pengalaman jemaah tanah air menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci menggunakan kapal laut dan terpaksa bertukar kapal di pelabuhan tertentu sebelum beralih kepada pengangkutan udara, terus terpahat dalam lipatan sejarah.

Kepayahan itu diharungi demi melaksanakan kemuncak kepada Rukun Islam yang lima sehingga sanggup meninggalkan ahli keluarga berbulan-bulan lamanya, bergolok-gadai dan menghadapi risiko kehilangan nyawa sekiranya kapal dinaiki dilanda ribut atau karam di lautan.

Sejarah pelayaran jemaah haji dapat dikesan dalam beberapa hasil penulisan agung Melayu seawal abad ke-19, antaranya kitab Tuhfat al Nafis yang menceritakan mengenai usaha Raja Ahmad bersama 13 bakal haji belayar ke Makkah pada tahun 1828 dan singgah di beberapa tempat termasuk Singapura serta Pulau Pinang.

PEGAWAI Eksekutif Galeri Haji Pulau Pinang, Muhammad Syauqi Abdul Rahim (kanan) dibantu Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang, Mohamad Anuar Azhar (kiri) melakukan kemasan akhir di ruang pameran Galeri Haji Pulau Pinang, Lebuh Aceh, yang menjadi rutin harian mereka. - Foto Zuhainy Zulkifli
PEGAWAI Eksekutif Galeri Haji Pulau Pinang, Muhammad Syauqi Abdul Rahim (kanan) dibantu Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang, Mohamad Anuar Azhar (kiri) melakukan kemasan akhir di ruang pameran Galeri Haji Pulau Pinang, Lebuh Aceh, yang menjadi rutin harian mereka. - Foto Zuhainy Zulkifli

Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang, Mohamad Anuar Azhar berkata, Pulau Pinang menjadi saksi sejarah revolusi haji di Tanah Melayu apabila pelabuhan negeri itu yang dikenali sebagai Pangkalan Swettenham menjadi tempat jemaah haji berlepas ke Makkah menggunakan jalan laut sejak pertengahan abad ke-19.

"Pada tahun 1821, terdapat catatan sejarah awal mengenai Pulau Pinang sebagai pusat haji dan peranan dimainkan jutawan bernama Sayyid Ahmad bin Abdar-Rahman al-Sagoff yang juga dikenali sebagai Nongchik.

"Sayyid Ahmad membeli dua buah kapal untuk mengangkut barang dinamakan Sri Mekah dan Sri Juddah. Pada musim haji, kapal yang sama digunakan untuk membawa jemaah menunaikan haji dari Sumatera, Singapura dan Pulau Pinang," katanya.

Pusat aktiviti haji

Kewujudan pelabuhan haji di Lebuh Aceh, Pulau Pinang ketika itu bukan sahaja mendorong kepada peningkatan jemaah setiap kali tibanya musim haji, bahkan negeri itu turut terkenal sebagai pusat aktiviti haji.

 TONG Sahara yang digunakan bagi menyimpan keperluan makanan, bahan masakan dan rempah ratus oleh jemaah sepanjang pelayaran dan ketika berada di Makkah dipamerkan di Galeri Haji Pulau Pinang, Lebuh Aceh. - Foto Zuhainy Zulkifli
TONG Sahara yang digunakan bagi menyimpan keperluan makanan, bahan masakan dan rempah ratus oleh jemaah sepanjang pelayaran dan ketika berada di Makkah dipamerkan di Galeri Haji Pulau Pinang, Lebuh Aceh. - Foto Zuhainy Zulkifli

Menurut Mohamad Anuar, apabila tiba musim haji, suasana di kawasan itu semakin sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti jualan barang kelengkapan, kursus haji di masjid dan kebanyakan rumah dijadikan rumah tumpangan kepada bakal jemaah.

"Keadaan itu menyebabkan masyarakat memberikan jolokan Jeddah Kedua atau The Second Jeddah kepada Pulau Pinang," katanya.

Berdasarkan temubual bersama jemaah yang pernah menaiki kapal laut untuk menunaikan haji, antara prosedur wajib yang perlu dilakukan jemaah termasuklah membeli tiket kapal dan mendapatkan pasport khas haji yang dikeluarkan oleh pemerintah British.

Wakil pihak syarikat haji yang dipanggil 'Syeikh haji' akan menguruskan keperluan jemaah semasa di pelabuhan dan mereka turut bertindak sebagai mutawif sepanjang berada di Tanah Suci.

GALERI Haji di Lebuh Aceh, Pulau Pinang memaparkan pengenalan mengenai sejarah perjalanan bagi jemaah haji yang pertama Tanah Melayu. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
GALERI Haji di Lebuh Aceh, Pulau Pinang memaparkan pengenalan mengenai sejarah perjalanan bagi jemaah haji yang pertama Tanah Melayu. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Satu-satunya galeri menyimpan gambar serta maklumat mengenai sejarah ibadat haji di Malaysia ialah Galeri Haji Pulau Pinang yang terletak di Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang, yang dibuka sejak 2015.

Galeri yang mempamerkan koleksi artifak dan fakta menarik mengenai perkembangan serta suasana pada musim haji itu memberi peluang masyarakat mengimbau kembali pengalaman dilalui jemaah haji dahulu untuk menyahut seruan Allah SWT menjadi tetamu di Baitullah.

Belayar 12 hari

Menariknya, galeri itu dibina di tapak bersejarah yang pernah menempatkan bangunan asal syarikat menjual tiket haji iaitu Syarikat Jeddah Pilgrims Ticketing Agency.

Selain sebagai satu tarikan pelancong, ia juga menjadi tumpuan dalam kalangan pengkaji naratif haji di Malaysia.

GAMBAR lama yang menunjukkan jemaah beratur sebelum menaiki kapal laut di Pelabuhan Port Swettenham, Georgetown, turut dipamerkan di Galeri Haji Pulau Pinang. - Foto Zuhainy Zulkifli
GAMBAR lama yang menunjukkan jemaah beratur sebelum menaiki kapal laut di Pelabuhan Port Swettenham, Georgetown, turut dipamerkan di Galeri Haji Pulau Pinang. - Foto Zuhainy Zulkifli

Berkesempatan menaiki kapal laut ketika menunaikan ibadat haji bersama keluarga pada tahun 1956 ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, 73, yang menyifatkan ia pengalaman sekali seumur hidup yang sukar dilupakan.

Menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada usia 13 tahun, katanya, suasana di pelabuhan Pulau Pinang ketika itu cukup riuh bercampur dengan perasaan sayu jemaah dan ahli keluarga yang ingin memberikan lambaian terakhir.

"Tambang dikenakan bagi mengerjakan haji waktu itu kira-kira RM700 seorang. Semua urusan termasuk permohonan visa, penginapan dan pengangkutan diuruskan oleh syeikh haji," katanya.

Katanya, perjalanan menaiki kapal laut bernama 'Anshun' yang terus belayar ke Jeddah mengambil masa 12 hari untuk sampai, sebelum jemaah dibawa oleh Syeikh haji ke Makkah atau Madinah.

Gambar sejarah haji menunjukkan suasana di pelabuhan Port Swettenham ketika jemaah berangkat menaiki kapal laut untuk ke Makkah. - Foto NSTP/Ihsan Pembaca
Gambar sejarah haji menunjukkan suasana di pelabuhan Port Swettenham ketika jemaah berangkat menaiki kapal laut untuk ke Makkah. - Foto NSTP/Ihsan Pembaca

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor antara yang pernah merasai perjalanan menunaikan haji menaiki kapal laut, kira-kira 60 tahun lalu.- Foto Zulaikha Zainuzman
MUFTI Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor antara yang pernah merasai perjalanan menunaikan haji menaiki kapal laut, kira-kira 60 tahun lalu.- Foto Zulaikha Zainuzman

Sebelum ini, perjalanan ke Tanah Suci memakan masa berbulan kerana jemaah terpaksa bertukar kapal.

Seingat beliau, ketika itu mereka membawa tong kayu besar dipanggil sahara berukuran satu meter panjang dan tiga meter tinggi bagi mengisi pelbagai keperluan terutama bekalan makanan untuk empat hingga lima bulan berada di Tanah Suci.

Menceritakan suasana di atas kapal, Wan Salim berkata, jemaah akan duduk berlonggok di bahagian dek kapal dan masa senggang diisi dengan pelbagai hiburan berunsur dakwah seperti pertandingan nasyid, bacaan al-Quran dan tazkirah oleh ahli agama.

Urus jenazah atas kapal

Beliau berkata, antara detik sayu ketika berada di atas kapal ialah apabila ada jemaah meninggal dunia dalam perjalanan ke Tanah Suci. Urusan mengkafankan, solat jenazah dan bacaan talkin dilakukan di atas kapal yang sengaja digerakkan perlahan sebagai tanda penghormatan terakhir.

"Jenazah kemudian dimasukkan ke dalam kotak seakan bentuk keranda diperbuat daripada papan dengan bahagian betisnya diikat besi supaya mudah tenggelam apabila dihanyutkan ke lautan," katanya.

Menurut Wan Salim, merasai sendiri pengalaman menunaikan ibadat haji menaiki kapal laut amat berbeza dan umat Islam hari ini harus bersyukur dengan kemudahan disediakan menggunakan kapal terbang serta pelbagai kemudahan lain ketika ini.

GAMBAR fail pelabuhan Port Swettenham di Pulau Pinang. - Foto NSTP/Ihsan PEMBACA
GAMBAR fail pelabuhan Port Swettenham di Pulau Pinang. - Foto NSTP/Ihsan PEMBACA

Katanya, bukan saja perjalanan dan ibadat haji dapat disempurnakan dalam jangka masa lebih singkat, bahkan segala keperluan jemaah turut dititikberatkan di bawah pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini.

"Berpeluang ke tanah suci dengan penerbangan yang efisien dan selesa sememangnya banyak mengingatkan saya kepada kesukaran nenek moyang kita dulu menaiki kapal laut. Syukur kerana sekarang jika ke Makkah, masa diperuntukkan untuk menyempurnakan ibadat tidak sampai 40 hari.

"Berbanding orang zaman dahulu yang perlu berjimat mengumpul duit dan kebanyakan mereka hanya berpeluang mengerjakan ibadat haji ketika sudah tua dan berada pada penghujung usia," katanya.

FAKTA NOMBOR

  • 1828 Pulau Pinang sudah dikenali sebagai pusat pelabuhan haji
  •  

  • 2,806 jemaah haji direkodkan menaiki kapal ke Tanah Suci pada tahun 1884
  •  

  • 23 Ogos 1976 berlaku insiden kebakaran kapal Malaysia Raya yang menamatkan industri pengangkutan kapal laut ke Jeddah

INFO

Galeri Haji Pulau Pinang 

  • Mempamerkan sejarah Pulau Pinang sebagai pelabuhan haji
  •  

  • Inisiatif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP)
  •  

  • Dibuka kepada orang awam secara percuma
  •  

  • Waktu operasi pada hari Rabu hingga Ahad

Berita Harian X