Ahad, 6 Ogos 2017 | 12:11pm
DATUK Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd melakukan balingan bola bowling ketika majlis perasmian pertandingan bowling Piala Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor 2017 di Wisma Daiman Bowling, Johor Jaya. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Program 'Trim and Fit' Kontinjen Johor beri impak 

JOHOR BAHRU: Program 'Trim and Fit' yang dilaksanakan di Kontinjen Johor berjalan mengikut jadual dan menunjukkan impak positif terhadap anggota dan pegawai polis bagi memiliki tubuh sihat dan cergas.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata program hari sukan yang diwujudkan di Kontinjen Johor pada setiap Khamis ternyata memberi kesan positif.

Katanya, ia adalah acara wajib dan anggota atau pegawai yang mempunyai berat badan berlebihan tidak akan diambil kira dalam proses kenaikan pangkat.

"Selain hari sukan ini, individu itu sendiri perlu mengambil inisiatif melakukan senaman kecergasan bagi membolehkan mereka mendapat berat ideal dan tubuh sihat.

"Saya bagi contoh bekas Ketua Jabatan Siasatan Johor, Datuk Kamaruz Zaman Mamat kini menunjukkan perubahan mendadak selepas mengamalkan diet dan senaman mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian pertandingan boling Piala Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, hingga kini program berkenaan menunjukkan perubahan dan setiap Ketua Polis Daerah juga memantau perkembangan perjalanan program berkenaan.

Program 'Trim and Fit' yang dilancarkan bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan pegawai dan anggota polis sejak Februari tahun lalu diperluaskan kepada seluruh warga polis pada tahun ini.

Berita Harian X