Isnin, 7 Ogos 2017 | 8:00am
BAHIYUDIN Awang menunjukkan sebuah bot nelayan yang pecah akibat melanggar beting pasir di Kuala Dungun.- Foto oleh Rosli Ilham

Lokasi bot karam kawasan 'keras'

DUNGUN: Lokasi bot karam membabitkan lima nelayan di muara Kuala Dungun, Rabu lalu adalah kawasan yang paling bahaya dan digeruni tekong bot. 

Ini kerana tekong bot sukar mengenal pasti lokasi beting pasir sehingga keadaan sudah terlewat apabila masuk ke muara terutama ketika air surut.

Seorang tekong, Bahiyuddin Awang, 31, berkata di muara kuala itu ada beting pasir yang timbul apabila air surut sehingga menyebabkan sudah banyak bot karam dan nelayan menjadi korban apabila tekong merempuhnya.

"Setiap kali air surut, beting pasir akan timbul dan paling bahaya pada waktu malam kerana kami sukar melihat beting itu," katanya.

Berkongsi pengalamannya, Bahiyudin berkata, dia juga pernah melalui detik cemas apabila melalui beting pasir itu dan botnya berpusing dipukul ombak sebelum terkandas.

Akibat kejadian itu seorang awak-awaknya tercampak ke laut dan mati lemas pada Januari 2014.

Mayat mangsa ditemui di perairan Kuantan, dua minggu selepas kejadian.

Selepas sejarah hitam itu, Bahiyudin tidak lagi berani memasuki Kuala Dungun sehinggalah air laut benar-benar pasang.

Malah, setiap kali hendak memasuki muara itu, dia akan meminta semua awak-awak bersedia dengan jaket keselamatan dan masuk ke dalam kotak enjin sebelum mengemudi bot dengan berhati-hati.

"Oleh sebab itu, ramai tekong bot tidak berani masuk sebaliknya melabuhkan bot di luar dan menanti keadaan air kembali pasang," katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, lima nelayan, iaitu dua beradik Mohd Shazrin Yaccob, 33; Mohd Nazri Yaccob, 37; Che Mohd Afandi Che Ismail, 34; Mohamad Zawawi Mohamad, 27; dan Abdul Wahab Zakaria, 44, tercampak ke laut selepas bot gentian kaca yang mereka naiki karam dipukul ombak kuat pada jam 10 malam.

Bagaimanapun, Mohd Shazrin dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke darat.

Mayat Mohd Nazri ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 300 meter dari tempat bot karam, kira-kira jam 8.50 pagi Jumaat.

Operasi SAR mencari tiga lagi mangsa masih diteruskan dan kawasan carian diperluaskan hingga jarak 10 kilometer ke Paka dan Rantau Abang.

Sementara itu, Marizan Ariffin, 37, isteri kepada seorang mangsa, Abdul Wahab Zakaria, 44, berkata suaminya baru kali pertama turun ke laut selepas kontrak sebagai pengawal keselamatan ditamatkan awal Ramadan lalu.

"Sebelum ini, kami tinggal di Damansara, Kuala Lumpur kerana suami bekerja di sana dan selepas habis kontrak kami pulang ke Jertih.

"Sementara dapat kerja baharu, suami mengambil keputusan untuk ke laut kerana sebelum ini dia juga seorang nelayan.

"Dia pernah mengajak sepupu yang lain mengikutnya menjadi nelayan tetapi mereka tidak mahu kerana tak pandai berenang.

"Suami kata, dia pun tak pandai berenang tetapi lebih baik jadi nelayan daripada tiada kerja," katanya.

Berita Harian X