Isnin, 7 Ogos 2017 | 2:25pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (kanan) bersama dua Timbalannya, Datuk Yahya Hussin (kiri) dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika hadir di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Likas.- Foto Malai Rosmah Tuah

Projek Pan Borneo di Sabah ikut jadual

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menepis dakwaan kononnya pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah terlewat daripada jadual ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata beberapa prosedur tertentu perlu dipatuhi dalam pelaksanaan projek mega berkenaan bagi memastikan ia berjalan lancar.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan kontraktor untuk semua 35 pakej fasa pertama bagi projek pembinaan lebuh raya itu diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

"Kita perlu mematuhi prosedur tertentu, malah melantik (kontraktor) juga mengambil masa. Kami tidak mempunyai tongkat sakti untuk membuat semuanya berlaku sekali gus.

"Apa yang kita fokus sekarang ini adalah untuk menentukan kontraktor bagi semua pakej itu dilakukan pada tahun ini juga," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri DUN Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (DAP-Sri Tanjong) apakah kemungkinan berlaku kelewatan dalam projek itu kerana hanya lima daripada pakej terbabit sedang dalam pelaksanaan.

Menjawab soalan asal Datuk Au Kam Wah (BN-Elopura), Pairin berkata, sebanyak 27 pakej kini dalam proses reka bentuk dan dijangka proses perolehan tender akan selesai sebelum akhir tahun ini.

"Lima pakej kini dalam peringkat pembinaan iaitu pakej Sindumin-Kampung Melalia, Papar-Dongonggon, Balung-Semporna, Lahad Datu Bypass dan Kampung Lot M-Sandakan Batu 32.

"Tiga lagi pakej dalam proses perolehan iaitu Beaufort-Bongawan, Putatan-Inanam dan Inanam-Sepanggar," katanya menjawab soalan mengenai jumlah pakej dan berapa pakej yang sudah memulakan kerja pembinaan dan jangka masa siap.

Beliau berkata, Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo dengan peruntukan RM12.86 bilion dijangka siap pada 31 Disember 2021.

Berita Harian X