Selasa, 8 Ogos 2017 | 2:38pm

Jangan tembak gajah Pgymy

KOTA KINABALU: Pengusaha ladang di Sabah diminta tidak menembak gajah Pgymy yang memasuki kawasan ladang masing-masing.

Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), Dr Benoit Goosens, berkata kejadian seumpama itu tidak harus berlaku kerana gajah Pygmy adalah spesis gajah terancam.

"Kita tidak boleh membiarkan ada pihak membunuh haiwan ini sesuka hati. Tindakan dan hukuman berat harus dikenakan kerana Borneo boleh kehilangan spesies haiwan yang unik sekiranya ia berterusan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) sudah membuat laporan polis berhubung kematian seekor gajah Pygmy betina mati akibat ditembak sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan.

Pengarah JHLS, Augustine Tuuga, berkata pihaknya juga kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar gajah terbabit ditembak, namun tidak menolak kemungkinan ia bukan dilakukan oleh pemburu haram.

"Jika diikutkan tembakan itu bukan atas niat menjual (gading) kerana ia gajah betina, tetapi ia lebih kepada melindungi tanaman di kawasan terbabit," katanya di sini, hari ini.

Gajah betina berumur lingkungan 10 tahun itu ditemui masih hidup oleh sekumpulan pekerja ladang kira-kira jam 7 pagi pada 4 Ogos lalu sebelum disahkan mati esoknya.

Pemeriksaan ke atas tubuh gajah itu menemui kesan tembakan pada kepala, perut dan pinggang dengn ada tembakan yang mengenai organ haiwan liar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan daripada JHLS berhubung insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Berita Harian X