Selasa, 15 Ogos 2017 | 6:13pm
KEADAAN banjir kilat yang melanda kawasan perumahan penduduk di Taman Harmoni, Tanjung Agas, Tangkak yang disebabkan hujan lebat berterusan, selain faktor air pasang di Sungai Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

PENDUDUK perumahan Taman Harmoni, Tanjung Agas, Tangkak, Md Imran Zakaria (kiri) bersama isterinya menyelamatkan kelengkapan rumah selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. - Foto Badrul Kamal Zakaria

20 keluarga terjejas banjir kilat di Tangkak

TANGKAK: Lebih 20 keluarga di Taman Harmoni, Tanjung Agas di sini berdepan detik cemas apabila hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan kawasan perumahan itu dinaiki air.

Difahamkan, kejadian banjir kilat itu kali pertama berlaku di kawasan itu sejak dihuni pada 2014, disebabkan taburan hujan yang banyak serta air pasang di Sungai Muar.

Penduduk, Suhaimi Yusof, 40, berkata hujan lebat mula melanda kawasan itu sejak jam 3 pagi dan berterusan hingga jam 9.30 pagi tadi.

"Namun pada jam kira-kira 1 tengah hari, paras air meningkat dan mula melimpah masuk ke rumah penduduk di sini.

"Ini kejadian banjir kilat pertama di kawasan ini. Beberapa agensi sudah datang membuat pemantauan, namun tiada sebarang arahan untuk berpindah ke penempatan dikeluarkan setakat ini," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Md Imran Zakaria, 30, berkata rumahnya antara yang terjejas teruk berikutan keadaan kediamannya yang lebih rendah di kawasan itu.

"Keadaan masih baik ketika saya keluar bekerja pagi tadi walaupun hujan lebat. Namun, apabila saya pulang ke rumah tengah hari, paras air semakin naik menyebabkan saya dan isteri terpaksa bertindak menyelamatkan apa yang boleh terutama kelengkapan rumah seperti perabot dan pekakas elektrik.

"Beberapa rumah jiran juga turut dinaiki air pada ketinggian paras betis termasuk sebuah rumah yang dijadikan pusat jagaan warga tua. Bagaimanapun, tiada mangsa ketika itu," katanya.

Berita Harian X