Khamis, 17 Ogos 2017 | 11:59pm
DR Zaki Morad (dari kiri) bersama Dr Abu Bakar menerima cek daripada Cheah sebagai simbolik penyerahan sumbangan lapan mesin dialisis kepada NKF.- Foto Mohd Farkhan Abd Ghafar

Yayasan Jeffrey Cheah sumbang 8 mesin dialisis

Subang Jaya: Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) malam tadi mengumumkan sumbangan lapan mesin dialisis kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

 

Pengasas Pemegang Amanah JCF, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, berkata mesin berkenaan akan diagihkan kepada pusat dialisis di Sabah, Sarawak dan Selangor.

Beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, berkata kemudahan itu dibiayai hasil kutipan menerusi penganjuran konsert 'Choral Serenade to Music'.

Konsert berkenaan menampilkan persembahan istimewa kumpulan Koir Gonville Universiti Cambridge dan Kolej Cauis yang diiringi Orkestra Filharmonik dari Malaysia.

Konsert tahunan kali kelima itu dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sunway.

Dalam ucapan perasmian konsert berkenaan di Sunway Resort Hotel & Spa, di sini malam tadi, Cheah berkata, konsert amal berkenaan diadakan khas untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit buah pinggang.

 


CHEAH (tengah) bersama Dr Abu Bakar menampal pelekat JCF pada satu daripada lapan mesin dialisis sumbangan JCF kepada NKF.

"Menyedari tanggungjawab kepada masyarakat, kami menganjurkan konsert ini khas untuk membantu pesakit buah pinggang. Konsert tahun ini dibuat dalam skala yang lebih besar berbanding tahun lalu.

 

"Kami sangat menyokong dan sedia membantu NKF. Lebih ramai pesakit dapat menggunakan mesin yang disumbangkan itu," katanya.

Konsert turut dihadiri Pengerusi NKF, Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher; Presidennya, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman serta lebih 1,000 penonton yang dihiburkan dengan lagu klasik nukilan komposer terkenal seperti Mozart, Franz Schubert dan JohnTavener.

 

Sementara itu, Zaki Morad berkata, sokongan dan usaha JCF terhadap NKF dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nasib pesakit buah pinggang.

 

"Saban tahun, kira-kira 7,000 rakyat negara ini disahkan menghidap kegagalan organ berkenaan, kebanyakannya disebabkan diabetis. Dengan sumbangan ini, ia memudahkan pesakit untuk menjalani proses dialisis," katanya.

Berita Harian X