Isnin, 21 Ogos 2017 | 4:50pm
ZULKIFLI memeriksa barisan kawalan kehormat ketika hadir di Ibu Pejabat Briged Sabah PGA di Kinarut. - Foto Malai Rosmah Tuah
ZULKIFLI memeriksa barisan kawalan kehormat ketika hadir di Ibu Pejabat Briged Sabah PGA di Kinarut. - Foto Malai Rosmah Tuah

PDRM perlu RM12 juta baiki aset laut, darat di Sabah

PAPAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan peruntukan tambahan RM12 juta bagi memperbaiki aset sedia ada membabitkan laut dan darat di Sabah.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata aset itu membabitkan kenderaan dan bot.

Katanya, aset berkenaan penting terutama untuk penugasan di pantai timur Sabah selain sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kita memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar dapat membantu menyalurkan peruntukan tambahan ini untuk kegunaan marin serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Pembaikan bot dan kapal memerlukan peruntukan RM10 juta, manakala aset darat sebanyak RM2 juta untuk membaiki lori atau kenderaan berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat di Pejabat Briged Sabah PGA di Kinarut, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Zanuddian Samsu Hadi.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berharap kerajaan dapat meluluskan cadangan penubuhan satu lagi batalion di daerah Kunak sebagai persediaan menampung keperluan PGA di negeri ini.

"Dalam situasi PGA di Sabah, kita masih memerlukan sokongan anggota dari Sarawak dan Semenanjung bagi melancarkan operasi yang diperlukan pada sesuatu masa.

"Dengan kewujudan batalion baharu, iaitu Batalion PGA ke-21 di Kunak nanti, ia dapat menampung keperluan sedia ada," katanya.

Berita Harian X