Selasa, 22 Ogos 2017 | 6:51pm
HELENA (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada waris Fatimah Senik, Norasikin (tiga dari kiri) di Felda Bukit Goh, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
HELENA (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada waris Fatimah Senik, Norasikin (tiga dari kiri) di Felda Bukit Goh, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

TH ziarah waris jemaah haji meninggal dunia

KUANTAN: Lembaga Tabung Haji (TH) menyampaikan sumbangan kepada waris jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah, Allahyarhamah Fatimah Senik, 69, di Felda Bukit Goh, di sini, hari ini.

Allahyarhamah Fatimah meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital King Abdul Aziz, Makkah, pada jam 5 petang waktu tempatan pada 16 Ogos lalu.

Pengarah TH Pahang, Helena Hashim menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian sebanyak RM1,500 serta air zam-zam dan kurma kepada anak allahyarhamah, Norasikin Awang Ahmad, 40 di rumah mereka di FELDA Bukit Goh, dekat sini.

Norasikin berkata, ibunya berlepas ke tanah suci bersama-sama bapanya, Awang Ahmad Deraoff, 71, dan abang sulung Mazuki, 50, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Terengganu, pada 11 Ogos lalu.

Selepas dua hari tiba di Tanah Suci, katanya, ibunya dilaporkan pengsan ketika menunggu giliran hendak tawaf bersama-sama ayah dan abangnya.

Menurut beliau, pasukan perubatan di sana membawa ibunya ke hospital dengan menanggalkan semua tag serta dokumen pengenalan diri untuk diserahkan kepada ayah.

"Ketika kejadian abang berada di masjid berhampiran. Pelbagai usaha kami lakukan termasuk melakukan solat hajat sehingga pihak hospital memaklumkan TH terdapat pesakit tanpa identiti.

"Pihak TH mengirimkan gambar pesakit berkenaan dalam keadaan kritikal sebelum ibu meninggal dunia," katanya ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Norasikin yang juga anak keempat daripada enam beradik itu bagaimanapun bersyukur apabila hasrat ibu untuk ke Makkah termakbul.

Beliau berkata, arwah ibu begitu teruja sejak diberitahu terpilih menunaikan haji dan sudah menyelesaikan kursus haji sebelum Aidilfitri serta sering mengajak anak-anak keluar mencari barangan keperluan haji.

"Ibu sentiasa menjaga kesihatan dan kelihatan lebih cergas walaupun sebelum itu sering berjumpa doktor dan mengambil ubat sejak tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

"Sebaik sahaja tahu emak meninggal dunia, kami terus melakukan solat jenazah ghaib dan majlis tahlil selama tiga malam berturut-turut. Kami reda kerana emak memang berhajat sangat hendak menjejak kaki ke sana," katanya.

Norasikin juga mengucapkan terima kasih kepada petugas TH yang berusaha mencari emaknya dan sering berhubung dengan mereka di sini, selain menguruskan urusan pengebumian emaknya di Tanah Perkuburan Syarai'e, Makkah pada 17 Ogos lalu.

Berita Harian X