Rabu, 23 Ogos 2017 | 12:39pm
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Bina kediaman di Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta untuk membina kediaman di kawasan kira-kira 38 hektar di Kampung Basung, Hulu Telemong, Hulu Terengganu, di sini.

Antara projek akan dilaksanakan adalah pembinaan rumah teres sebanyak 179 unit, rumah berkembar (92 unit), rumah sebuah (119 unit), rumah kedai (15 lot) dan satu stesen minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata, projek pembinaan kediaman itu sepatutnya bermula tahun lalu, tetapi tertangguh disebabkan masalah mengenal pasti tapak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong berkata, projek infrastruktur perumahan bandar baharu Gawi itu akan dilaksanakan di Kampung Basung, iaitu pintu masuk utama pelancong ke Tasik Kenyir.

"Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memulakan projek itu akhir tahun ini selepas kerja meratakan tapak siap dilakukan," katanya ketika dihubungi BH, pagi ini.

Rozi berkata, kerajaan negeri meminta agensi KKLW termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mempercepatkan proses pembinaan kediaman itu.

"Apabila projek itu siap dalam tempoh lima tahun, ia mampu memberi pendapatan kepada penduduk setempat, selain menyelesaikan masalah perumahan dihadapi penduduk setempat," katanya.

Selain itu Rozi berkata, tahun lalu, KKLW juga melaksanakan 137 projek membaik pulih kediaman penduduk di daerah ini dan tahun ini sebanyak 13 projek sama akan dilaksanakan.

Berita Harian X