Ahad, 27 Ogos 2017 | 12:46pm
PERSEMBAHAN kebudayaan tradisi memeriahkan majlis perasmian Langkawi Fest 2017 di Telaga Walk, Pantai Chenang, Langkawi, malam tadi. - Foto Hamzah Osman

500 penari meriahkan Langkawi Fest 2017

LANGKAWI: Laluan sepanjang 1.2 kilometer di Pantai Chenang di sini, bergemerlapan dengan persembahan lebih 500 penari sempena Langkawi Fest 2017, malam tadi.

Festival yang memperagakan pelbagai tradisi dan kebudayaan Malaysia itu menampilkan pelbagai segmen termasuk persembahan kebudayaan dan kaum seperti Melayu, Cina, India serta etnik Sabah, Sarawak dan Siam.

Sejumlah 18 kumpulan terbabit dalam persembahan hampir tiga jam yang turut menampilkan perarakan dan tarian mengikut tema pilihan masing-masing bersama pelbagai kostum unik.

Acara julung kali dianjurkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, dikunjungi lebih 5,000 penonton.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid di Telaga Walk di sini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Azizan Noordin dan Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat.

Terdahulu pada sebelah petang, pengunjung turut berpeluang menikmati persembahan 'Battle of The Band' dan 'buskers', selain cantingan batik dan jualan kraf.

Acara pada sebelah malam dibahagikan kepada lima segmen utama, iaitu persembahan kebudayaan, gerai komuniti, pelancongan sukan, persembahan pancaragam dan irama 1Malaysia.

Berita Harian X