Rabu, 30 Ogos 2017 | 4:35pm
PERSATUAN Veteran British Malaya dan Borneo (NMBVA) dari veteran tentera British bergambar kenangan selepas melawat Memorial Perang Komanwel (CWG), di Kem Terendak, Sungai Udang. Seramai 39 orang veteran termasuk ahli keluarga memberi penghormatan kepada korban perang yang menempatkan kira-kira 113 kubur di CWG. - Foto Rasul Azli Samad

Veteran tentera British lawat kubur perang Komanwel

MELAKA: Seramai 39 veteran tentera British melawat Perkuburan Perang Komanwel (CWG), Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, hari ini.

Kehadiran delegasi veteran ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan kepada tentera Britain yang gugur ketika konfrontasi, darurat dan peperangan antara 1964 hingga 1968 selain penjawat awam yang bekerja di negara ini.

Mereka meluangkan masa di tanah perkuburan yang mempunyai 113 kubur selama kira-kira 45 minit sebelum bergerak ke lokasi seterusnya di hospital dan Kelab Rekreasi Angkatan Tentera (KRAT) dalam kem yang sama.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada program jemputan menyertai perarakan menyambut Hari Kebangsaan Malaysia di Dataran Merdeka, esok.

Morris John, 80, ketika ditemui berkata, lawatan ke tanah perkuburan itu mengembalikan nostalgia ketika pernah berkhidmat selama dua tahun tahun enam bulan di Tanah Melayu.

"Walaupun tiada saudara mara di tanah kubur ini, memori dan ingatan saya terhadap mereka (rakan seperjuangannya) sangat kuat," katanya yang pernah berkhidmat hingga 1958.

Seorang lagi bekas tentera, David Drummond, 72, berkata beliau pernah menyertai Briged ke-28 Infantri Komanwel dan ditempatkan di Kem Terendak dalam tempoh dua tahun dan enam bulan sebelum kembali ke Scotland pada 1967.

"Penghormatan ini sangat menyentuh perasaan saya apabila mengenang kembali keperitan yang dialami pejuang kami ketika Darurat Tanah Melayu 1948 hingga 1960, kemudian pada Konfrontasi Indonesia-Malaysia atau Konfrontasi Borneo pada 1962 hingga 1966," katanya.

Semua anggota veteran berusia lingkungan 70-an yang berjuang ketika zaman komunis dan Konfrontasi Indonesia-Malaysia berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam selepas menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH03 dari Heathrow, London.

Berita Harian X