Rabu, 30 Ogos 2017 | 11:20pm
Peserta memulakan kayuhan di Program Kayuhan Merdeka MBI Tahun 2017 di Dataran Bandaraya Ipoh. - Foto NSTP/Effendy Rashid
Peserta memulakan kayuhan di Program Kayuhan Merdeka MBI Tahun 2017 di Dataran Bandaraya Ipoh. - Foto NSTP/Effendy Rashid

Hujan tak halang Sultan Nazrin meriahkan Kayuhan Merdeka

IPOH: Hujan renyai tidak menghalang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk turut sama berbasikal sejauh 10 kilometer sempena program Kayuhan Merdeka Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2017, di sini malam ini.

Baginda yang ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyertai kayuhan dari Dataran MBI pada jam 9 malam dan mengakhiri kayuhan di lokasi sama setengah jam kemudian.

Antara laluan kayuhan ialah Jalan Sultan Iskandar Shah, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Laxamana, Jalan Dato Onn Jaafar, Bulatan Taman Dr Seenivasagam dan Jalan Dato Ahmad Said.

Terdahulu, baginda turut berkenan melepaskan 3,000 peserta kayuhan bagi kategori 25 kilometer dari lokasi sama.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyertai Program Kayuhan Merdeka MBI Tahun 2017 di Dataran Bandaraya Ipoh.Turut sama Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tiga kanan). - Foto NSTP/Effendy Rashid

Yang turut mengiringi Sultan Nazrin, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Program itu yang keempat dianjurkan MBI dan kerajaan negeri sempena Ambang Merdeka dan mendapat kerjasama Tourism Perak.

Sultan Nazrin turut dijadual berangkat ke Majlis Sambutan Ambang Merdeka 2017 peringkat negeri di lokasi sama menjelang jam 12 tengah malam ini.

Pelbagai acara menarik disediakan termasuk 60 hadiah cabutan bertuah membabitkan 20 hadiah utama, antaranya motosikal, basikal dan telefon bimbit serta 40 hadiah sampingan khusus untuk peserta kayuhan.

Menunggu detik 12 tengah malam, dianjurkan pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian sewang masyarakat Orang Asli, gimnastik dan persembahan artis jemputan termasuk Khai Bahar dan Hael Husaini.

Berita Harian X