Khamis, 31 Ogos 2017 | 9:41am
Dr Zaini (kemeja kuning) dan Aeron (bertudung) bersama wakil penduduk sempena program penyerahan sumbangan Aidiladha kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah. - Foto ihsan Forest City

Forest City agih lembu kepada Orang Asli

GELANG PATAH: Pemaju projek Forest City, Country Garden Pacific View (CGPV) mengagihkan 13 lembu menerusi program penyerahan sumbangan Aidiladha kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Simpang Arang, dekat sini.

Sembilan kampung menerima sumbangan berkenaan iaitu Kampung Paya Desa Mengkuang, Tanjung Adang, Tiram Duku, Pok, Tanjung Kupang, Pekajang, selain Kampung Pendas, Simpang Arang dan Baru Muafakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar, berkata pihaknya menyokong inisiatif syarikat berkenaan bagi pembangunan masyarakat di Mukim Tanjung Kupang.

"CGPV adalah contoh baik dalam pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial. 

"Selain pembangunan pesat Forest City yang membabitkan pelaburan asing sejumlah USD100 bilion (RM427 bilion), pemaju tidak lupa untuk berkongsi nikmat pembangunan bersama penduduk sekitarnya 

"Limpahan pembangunan Forest City bukan saja dapat dilihat dari segi ekonomi rakyat tempatan, malah turut meliputi aspek sosial di Johor," katanya selepas menghadiri program penyerahan sumbangan yang disempurnakan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat CGPV, Aeron Munajat.

Sementara itu, Aeron berkata, ia adalah pertama kali masyarakat Orang Asli menerima sumbangan sedemikian daripada CGPV sebagai antara inisiatif tahunan pihaknya membabitkan penduduk setempat.

"Usaha ini seiring dengan konsep keterangkuman yang digarap dalam asas pembangunan Forest City", katanya.

Ketua masyarakat Orang Asli Kampung Simpang Arang, Batin Noree Kasi, berkata pihaknya menyambut baik usaha Forest City dalam memeriahkan sambutan Aidiladha berikutan 70 peratus daripada kira-kira 800 penduduk adalah umat Islam.

"Diharapkan program seumpama ini diperbanyakkan pada masa akan datang terutama membabitkan pembabitan komuniti Orang Asli," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X