Khamis, 31 Ogos 2017 | 1:15pm
MURID-MURID sedang sedang menyanyikan lagu tema hari kebangsaan ketika Sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat Negeri Perak di hadapan Dewan Bandaran Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat utama sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran KTM Ipoh. - Foto L Manimaran
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyaksikan perarakan ketika Tuanku berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat Negeri Perak di hadapan Dewan Bandaran hari ini. - Foto BERNAMA

Nyanyian koir oleh 105 pelajar di Ipoh

IPOH: Kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri perkarangan Dewan Bandaran Ipoh, di sini bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 peringkat negeri Perak hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan menghadiri majlis sambutan berkenaan.

Ketibaan baginda berdua pada jam 8.20 pagi turut ditemani dua anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sebaik sahaja nyanyian Negaraku selesai, Sultan Nazrin berkenan memeriksa barisan kawalan kehormatan yang disertai seramai 150 pegawai dan anggota pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen.

Acara sambutan diteruskan dengan nyanyian koir oleh 105 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarsician Convent, SMK Perempuan Perak dan SMK Perempuan Methodist.

Pada sambutan berkenaan, sebanyak 107 kontinjen membabitkan 5,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai perbarisan dan perarakan terbabit.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim berangkat meninggalkan majlis pada jam 10.15 pagi sebelum berkenan menghadiri acara penyampaian hadiah sambutan acara berkenaan di Dewan Bandaran Ipoh.

Berita Harian X