Selasa, 5 September 2017 | 2:36pm

MBJB sasar kutipan RM446.49 juta

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM446.49 juta pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 13.49 peratus berbanding anggaran pada tahun ini.

Datuk Bandar, A Rahim Nin, berkata jumlah hasil yang dijangka diperoleh tahun ini berjumlah RM386.3 juta, berbanding pada tahun lalu pihaknya mengutip hasil berjumlah RM320.06 juta.

Katanya, sehingga Julai lalu, MBJB sudah mengutip hasil termasuk cukai, bukan cukai, dan terimaan bukan hasil berjumlah kira-kira RM243 juta.

"Apa yang membezakan di antara dua bajet ini ialah bajet tahun ini ialah bajet defisit sebanyak RM51.51 juta, manakala bajet tahun 2018 adalah bajet surplus sebanyak RM4.31 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MBJB, di sini, hari ini.

A Rahim berkata, jumlah perbelanjaan bagi tujuan pembangunan dan mengurus bagi tahun depan ialah RM442.17 juta, iaitu penurunan sebanyak satu peratus berbanding anggaran bagi tahun ini.

"Sebanyak RM152.02 juta sudah diperuntukkan khas bagi tujuan pembangunan, iaitu sebanyak 34 peratus daripada anggaran jumlah hasil.

"Jumlah wang yang diperuntuk ini akan digunakan bagi menyediakan kemudahan perniagaan, membina pejabat atau mengubah suai bangunan sedia ada, selain menyediakan kemudahan awam, membina jejantas dan projek pembetungan.

"Saya percaya bajet MBJB 2018 yang sudah dirangka ini akan memberikan impak yang positif terutamanya kepada warga bandar raya," katanya.

INFO

* RM152 juta untuk pembangunan

Berita Harian X